Breaking news

Monday, 7 September 2020

Lembaga minyak sawit bidas laporan ‘berat sebelah’ ahli biologi Eropah

Lembaga Minyak Sawit Malaysia berkata, minyak sawit boleh menghasilkan sehingga 10 kali lebih banyak daripada tanaman biji minyak lain seperti biji sesawi, kacang soya, zaitun dan bunga matahari yang dihasilkan negara barat.

PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menuduh seorang ahli akademik yang berpangkalan di Eropah membuat kritikan tidak adil dan berat sebelah terhadap pensijilan minyak sawit lestari.

Ketua Pengarah MPOB, Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, ahli akademik, Roberto Cazzolla Gatti gagal mengiktiraf usaha kerajaan dan industri untuk meningkatkan kelestarian minyak sawit.

Gatti ialah pengarang bersama satu kertas kajian diterbitkan dalam jurnal “Science of the Total Environment” yang mengkritik pensijilan oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), dengan menyifatkannya “greenwashing”.

Katanya, pensijilan itu ialah usaha tidak bermakna untuk meluluskan minyak sawit sebagai lestari tanpa asas. Beliau mendakwa 99% bekalan minyak sawit di Borneo yang diperakui RSPO ditanam di tanah berhutan seawal 30 tahun lalu.

“Ini pandangan berat sebelah,” kata Parveez kepada FMT sambil menambah tidak adil untuk membuat kenyataan umum dengan hanya melihat penebangan hutan dalam konteks 30 tahun lalu.

Ahmad Parveez Ghulam Kadir

“Mengapa penebangan hutan hanya dilihat tidak produktif sekarang? Selama beratus-ratus tahun, negara barat mengubah tanah hutan menjadi tanah untuk kegiatan pertanian, ternakan dan perindustrian.”

Beliau berkata, walaupun beberapa kawasan hutan hujan tidak kekal yang dikhaskan untuk pertanian dibuka untuk penanaman minyak sawit, banyak ladang dibuka atas tanah yang ditukar daripada tanah pertanian.

Begitu juga ramai pekebun kecil menukar tanah pertanian bukan minyak sawit mereka kepada penanaman minyak sawit.

Parveez berkata, setiap negara mempunyai hak mengembangkan ekonominya. Sejak Sidang Kemuncak Rio 1992, Malaysia komited mengekalkan sekurang-kurangnya 50% kawasan hutannya.

Roberto Cazzolla Gatti

“Peratusan ini jauh lebih banyak daripada kebanyakan negara Eropah dan kami terus berusaha menjadikannya lebih lestari, bukan saja melalui RSPO berorientasikan perniagaan ke perniagaan secara sukarela, tetapi mewajibkan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).”

Katanya, MSPO terpakai untuk semua penanaman, termasuk pekebun kecil dan mewajibkan pensijilan itu tidak mudah memandangkan kos pematuhan dan bantahan pekebun kecil untuk mengubah cara mereka beroperasi.

“Tetapi kerajaan, daripada pentadbiran terdahulu hingga sekarang, komited dalam memastikan kepatuhan dan memperuntukkan banyak sumber untuk langkah ini.

“Minyak sawit paling produktif dalam kalangan minyak sayur dan boleh menghasilkan sehingga 10 kali lebih banyak daripada tanaman biji minyak lain seperti biji sesawi, kacang soya, buah zaitun dan bunga matahari yang dihasilkan negara barat.”

Beliau berkata, pengkritik minyak sawit hanya cuba memperlekehkan usaha untuk memastikan minyak sawit lebih lestari.

Minyak sawit, katanya, ialah satu-satunya tanaman yang diberikan penelitian dan standard tinggi, baik di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.

“Kita terus meningkatkan kelestarian minyak sawit, tetapi setiap kali kita berbuat demikian, pengkritik kita tetap mengatakan kita tidak melakukan perkara betul.

“Namun, mereka tidak mempersoalkan sejauh mana biji sesawi, kacang soya, buah zaitun dan bunga matahari terus mampan.”



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2EVj3Kx
via IFTTT

No comments:

Post a Comment