Breaking news

Tuesday, 11 August 2020

CCTV cam wajah di kedai serbaneka bantu polis kesan penjenayah

KK Super Mart menggandakan usaha pemantapan aspek keselamatan pelanggan dan pekerja dengan menggunakan CCTV dilengkapi teknologi pengecaman wajah di 100 cawangannya di seluruh negara. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pengecaman wajah di kedai serbaneka mampu membantu polis mengesan dan menangkap penjenayah dengan pantas, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim.

Beliau berkata, melalui kamera itu, wajah penjenayah dapat dirakam dengan jelas untuk mengesan identiti mereka.

“Kegiatan jenayah sering berlaku di kedai serbaneka, terutama yang beroperasi 24 jam melibatkan samun dan curi.

“Polis amat mengalu-alukan pemasangan CCTV pengecaman wajah di setiap kedai kerana kejadian jenayah boleh berlaku pada bila-bila masa saja,” katanya pada Majlis Pelancaran CCTV Pengecaman Wajah semalam.

Mazlan Lazim (tengah) mendengar penerangan daripada KK Chai (kanan) ketika melawat bilik kawalan CCTV pada Majlis Pelancaran CCTV Pengecaman Wajah semalam. (Gambar Bernama)

Beliau berkata, penggunaan CCTV pengecaman wajah itu juga boleh membantu polis mengesan individu dilaporkan hilang.

“Orang hilang ini mampu dikesan, sekiranya dia memasuki kedai serbaneka yang mempunyai CCTV ini melalui gambar yang diperolehi daripada ahli keluarga individu hilang.”

Dalam pada itu, Mazlan berkata, 81 kes samun melibatkan kedai serbaneka direkodkan dari Januari hingga Julai tahun lalu berbanding 44 kes bagi tempoh sama tahun ini.

Beliau berkata, pengurangan kes samun tahun ini berkemungkinan disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak Mac lalu.

“Sungguhpun begitu, itu tidak bermaksud kegiatan samun tidak berlaku. Cuma ianya berkurangan.”

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat KK, KK Chai berkata 100 cawangan KK Super Mart sudah dilengkapi CCTV pengecaman wajah di seluruh negara dengan anggaran kos RM800,000.

Katanya, rangkaian perniagaan itu mempunyai lebih 450 cawangan dan pemasangan CCTV pengecaman wajah di cawangan lain akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Beliau berkata, pemasangan CCTV itu mampu membantu polis mengesan penjenayah di dalam kedai serbaneka, selain melindungi keselamatan orang awam.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/33ICXSV
via IFTTT

No comments:

Post a Comment