PETALING JAYA: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) melihat prosedur birokrasi yang melambatkan proses pentadbiran antara bakat-bakat tempatan berhijrah ke negara lain.
Mengulas seruan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, baru-baru ini yang menyeru proses pentadbiran dipercepatkan bagi membantu mengekang penghijrahan bakat, Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan berkata turut perlu dipertimbangkan adalah faktor tarikan negara lain.
Beliau beritahu FMT banyak institusi pendidikan bekerjasama lebih baik dengan syarikat asing berbanding syarikat tempatan.
“Ini faktor utama bakat tempatan berhijrah ke negara lain,” katanya. “Sebelum tamat belajar lagi mereka sudah dipancing majikan-majikan asing.”
Beliau menambah kerajaan asing juga menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia untuk menarik mereka belajar di negara mereka.
“Taiwan, Singapura, Jerman, Arab Saudi, dan Jepun beberapa destinasi pilihan pelajar Malaysia kerana pengajian dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negara-negara itu,” katanya.
“Tambahan pula, syarat kemasukan sebahagian besarnya berdasarkan pada kebolehan linguistik dan bukannya pencapaian akademik dan ini memberikan peluang yang lebih luas kepada rakyat Malaysia yang muda dan bersemangat untuk teroka kehidupan di luar negara.”
Isnin lalu, selepas merasmikan suatu bengkel latihan YouTube di Kuantan, Saifuddin menyentuh hal anak muda tempatan berhijrah ke negara luar untuk membangunkan produk mereka, mengatakan mereka mungkin tidak akan berbuat demikian sekiranya birokrasi di Malaysia lebih mudah.
Beliau mengambil contoh Pua Khein-Seng dari Selangor, yang ideanya membawa kepada penciptaan pemacu pena (pen drive). Namun kesukaran mencari dana menyebabkannya perlu mencari dana di negara lain.
Dalam pada itu, ahli ekonomi Ramon Navaratnam juga mengulas mengenai hal tersebut. Katanya, ketidakpuasan terhadap dasar pro-Bumiputera sebab utama bakat tempatan berhijrah keluar.
Menurut Monitor Ekonomi Malaysia 2017, bukan Bumiputera membentuk sebahagian besar rakyat Malaysia yang merantau.
“Kurangnya keterangkuman (inclusive) dalam dasar menyebabkan polarisasi dan kualiti nyang tidak berapa baik (mediocrity),” kata Navaratnam.
Bagaimanapun, terdapat juga sebilangan besar orang Melayu berbakat yang berhijrah keluar dan berjaya, kata Shankaran Nambiar, ketua penyelidik di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia.
“Saya rasa tiada gunanya kita mengkaji hal penghijrahan bakat tempatan ini dari sudut pandang etnik,” katanya kepada FMT.
Katanya, persekitaran yang liberal, sokongan lebih baik, kemudahan rangkaian yang lebih baik, dan peluang untuk berada dalam kelompok termaju juga faktor yang mendorong migrasi.
Tambahnya, permintaan tinggi untuk bakat Malaysia di luar negara adalah petanda positif.
“Banyak negara membangun berdepan fenomena ini dan nampaknya ia rahmat yang terselindung,” katanya. “Apa yang dilihat masalah bagi Malaysia hari ini boleh sebaliknya menjadi kelebihan kepada Malaysia sedekad dari sekarang.”
from Free Malaysia Today https://ift.tt/36wuTG2
via IFTTT
No comments:
Post a Comment