Breaking news

Friday, 23 October 2020

Kurang perlindungan untuk kami, keluarga, kata renjer hutan

Renjer hutan berkata, mereka sentiasa terdedah kepada bahaya ketika bertugas.

PETALING JAYA: Beberapa orang renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) meminta jabatan itu menjaga kebajikan mereka ketika bertugas di dalam hutan dan menjamin kesejahteraan keluarga mereka jika mereka tercedera.

Seorang anggota renjer, yang bertugas dengan jabatan berkenaan lebih 15 tahun berkata, terdapat antara 1,200 hingga 1,500 daripada mereka di semenanjung yang bertugas di dalam hutan sehingga 2 minggu pada satu-satu masa.

“Tugas kami termasuk mengutip data. Kami mengira bilangan harimau yang masih ada, memerhati tingkah laku beruang dan monyet serta memasang CCTV untuk mengkaji spesis terbabit.

“Kami memberi bantuan kepada penduduk kampung yang diserang binatang liar, dan kadang-kadang dipanggil untuk menangkap ular,” katanya.

Beliau yang enggan dikenali memberitahu FMT bahawa mereka pernah diserang oleh beruang, harimau dan gajah atau dipatuk ular dan digigit monyet.

“Kami tidak tahu sama monyet tersebut dijangkiti penyakit. Ini adalah antara bahaya yang kami hadapi,” katanya.

Anggota renjer tersebut mendakwa, mereka tidak dibekalkan dengan ubat-ubatan sesuai untuk merawat luka atau antidot bagi gigitan ular atau binatang berbisa lain walaupun terpaksa berada di dalam hutan sehingga 2 minggu.

Katanya, mereka dibekalkan dengan telefon satelit, tetapi ada masanya tidak ada liputan di dalam hutan.

“Kami perlu merawat sendiri kecederaan yang dialami atau bergantung pada rakan sekerja untuk membawa kami ke hospital,” katanya, selain menambah bahawa seringkali mereka terpaksa mencari balai polis atau hospital terdekat.

Anggota tersebut menggesa jabatan berkenaan menjaga kebajikan mereka dengan menambah dana bagi membantu kakitangan yang tercedera atau pasangan yang tidak bekerja.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan elaun kritikal sebanyak RM150 sebulan, tetapi “Perhilitan sendiri tidak membantu”.

“Jabatan boleh membantu dalam membawa pasangan kami ke hospital di mana kami dirawat atau membantu kami membuat tuntutan insurans,” katanya.

Katanya, pengurusan tertinggi tidak peka walaupun jika mereka tercedera.

“Ini sangat mengecewakan kerana nyawa kami terancam hampir setiap masa.”

Anggota renjer yang lain, yang juga telah berkhidmat lebih 10 tahun berkata, mereka kerap cedera disebabkan oleh binatang liar.

Beliau mendakwa, ada anggota renjer yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, termasuk mereka yang diserang gajah liar.

Pada Ogos 2018, seorang anggota Perhilitan meninggal dunia kerana tertembak dalam operasi menghalau monyet liar di Rembau, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, jabatan itu kini mengagihkan peralatan perlindungan peribadi, termasuk helmet, jaket kalis peluru dan pakaian bagi melindungi mereka daripada serangan binatang liar.

“Bantuan ini diterima selepas bertahun-tahun,” katanya.

“Kami bertugas mengutip data untuk kerajaan dan memastikan penduduk kampung selamat. Kami layak dilindungi.

FMT telah menghubungi Perhilitan dan kini menunggu respons jabatan itu.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/34mGOVO
via IFTTT

No comments:

Post a Comment