Breaking news

Tuesday 27 October 2020

Ibu Singapura bantu kumpul dana projek tanam semula hutan di Sabah

Seorang penduduk kampung di Kinabatangan menanam spesis pokok asli dalam usaha penghutanan semula.

KOTA KINABALU: Seorang ibu dari Singapura membantu sebuah projek penanaman semula hutan di pantai timur Sabah dengan mengumpul dana melalui penjualan buku elektronik bergambar kanak-kanak.

Bagaimanapun, berbaki beberapa hari menjelang tarikh akhir 31 Okt ini, kempen itu hanya mencapai 1/3 daripada sasaran AS$3,313 (RM13,773).

Kira-kira AS$1,184 dijanjikan 35 penyokong setakat ini, tetapi wang itu tidak akan diambil jika sasaran gagal dicapai menjelang tarikh akhir itu.

Separuh daripada jumlah disasarkan itu akan digunakan untuk usaha penanaman semula hutan Regrow Borneo, inisiatif Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC), sebuah pusat penyelidikan di daerah Kinabatangan Rendah yang kaya dengan hidupan liar, kira-kira 100km dari Sandakan.

Aria Lee, ibu kepada 2 anak, menghasilkan sebuah e-buku bertajuk “Jojo, The Rainforest Girl”, mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang mempunyai kebolehan bercakap dengan haiwan dan cara beliau menyelesaikan konflik antara abangnya dan haiwan.

Antara haiwan dalam buku itu ialah beruang matahari, harimau dahan, Monyet proboscis dan orang utan, beberapa spesis hidupan liar istimewa Sabah yang ditemui di Kinabatangan Rendah.

Dua watak dalam buku ‘Jojo, The Rainforest Girl’ yang dihasilkan Aria Lee.

Lee berkata, beliau memilih Sabah sebagai latar belakang buku itu, selepas mendapat inspirasi ketika mendaki Gunung Kinabalu beberapa tahun lalu.

“Ketika menulis buku itu, saya tanya diri bagaimana saya mahu anak-anak kita memahami kepentingan melindungi hutan hujan. Jadi, saya mencipta semua watak ini supaya mesej melindungi hutan hujan lebih mudah difahami mereka,” kata pendidik itu.

Pengarah DGFC, Dr Benoit Goosens berkata, projek “Regrow Borneo” untuk menanam semula hutan di kawasan degradasi dengan spesis pokok asli yang turut menjadi sumber makanan hidupan liar, dan membentuk koridor untuk haiwan bergerak antara hutan terjejas sedia ada.

Katanya, usaha penanaman semula hutan kini tertumpu berhampiran kawasan Kampung Batu Putih yang turut memanfaatkan masyarakat setempat kerana mereka terbabit dalam melakukan kerja itu.

Beliau berkata, inisiatif “Regrow Borneo” setakat ini mengumpul kira-kira RM108,000 yang digunakan untuk penanaman semula hutan kira-kira 5ha di Kinabatangan Rendah sejak awal tahun ini.

“Ia tidak termasuk kos pemantauan pertumbuhan pokok ditanam selama 3 tahun, tetapi itu sesuatu yang kita perlu lakukan juga.”



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3os1kMt
via IFTTT

No comments:

Post a Comment