Breaking news

Sunday, 25 October 2020

Dari pengurus senior, Basharulhizam kini usahawan kereta sewa berjaya

Basharulhizam Ishak usahawan kereta sewa yang berjaya. (Gambar Basharulhizam)

KUALA LUMPUR: Dahulu, rutin hariannya padat, bangun seawal subuh meredah sesaknya lalu-lintas. Berpusu-pusu mengejar waktu agar tidak terlewat masuk ke pejabat. Pulangnya dari pejabat tanpa nampak mentari, langit kelam hanya kelihatan bintang. Sekali lagi dia meredah pekatnya malam, bersama yang lain menuju kembali kepada keluarga sebelum esok rutin yang sama diulang semula.

Basharulhizam bersama isteri, Ruzaimah Abd Rahman dan anaknya, Damia Farhana. (Gambar Basharulhizam)

Itulah rutin hariannya setiap hari. Walau lelah dia sudah terbiasa, apatah lagi menjawat antara posisi tertinggi dalam syarikat kecantikan terulung di Malaysia.

Basharulhizam Ishak, 47 akui bukan mudah mendaki jawatan yang pernah disandangnya dahulu. Banyak ilmu dan pengalaman suka duka adalah asam garam dalam dunia pekerjaan. Berbaloi dengan usaha, kehidupannya juga mewah tanpa ada cacat cela.

Namun, setelah 13 tahun bekerja, Basharulhizam akhirnya nekad untuk menerima tawaran “Voluntary Separation Scheme” (VSS) yang ditawar syarikat.

Antara kereta-kereta sewa Bash yang berjumlah 17 unit kesemuanya. (Gambar Basharulhizam)

“Mungkin sudah tiba masanya saya harus berehat dari kerja makan gaji. Lagi pula waktu itu saya tidak berapa sihat kerana pernah diserang sakit jantung pada 2013 sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Memang bukan mudah apatah lagi sudah 13 tahun bersama syarikat tetapi saya redha, mungkin rezeki saya di sana sampai di situ. Saya percaya, setiap yang terjadi tersedia hikmah yang tersendiri,” ujar anak kelahiran Bidor, Perak ini.

Bertitik-tolak dari situ, selepas menamatkan kerjayanya dengan jawatan terakhir sebagai “Senior Manager Supply Planning” pada 2016, Basharulhizam atau dikenali dengan nama Bash oleh rakan-rakannya, kemudian menjalankan perniagaan kereta sewa, “Break Away Rent A Car” (BARAC).

Basharulhizam Ishak sewaktu ingin menghantar kereta kepada pelanggan, tidak lupa membawa basikal kayuhannya. (Gambar Basharulhizam)

“Pada mulanya saya dan rakan berbincang ingin membuat projek berniaga itik panggang untuk bazar Ramadhan. Sambil berborak dari situ datang pula idea membuat perniagaan kereta sewa. Lagi pula perniagaan kereta sewa adalah “cash flow business” dan ia perniagaan yang cepat berkembang.

“Paling penting, ia berkait rapat dengan hobi saya yang suka mengayuh basikal. Bila balik dari menghantar kereta sewa, saya akan mengayuh untuk pulang ke rumah,” cerita Bash yang aktif dengan sukan berbasikal.

Nekad, dengan pengalaman 13 tahun dalam bidang jualan dan pemasaran, Basharulhizam terus memulakan perniagaan, melabur sebanyak RM120,000 dia membeli tiga buah kereta iaitu Beza, Myvi dan Izora. Untuk memasarkan perniagaannya, dia menjadi pemandu Uber selama setahun sambil meneruskan perniagaan kereta sewa.

“Menjadi pemandu Uber beri saya lebih banyak peluang untuk berjumpa dengan ramai pelanggan dan dari situ perniagaan saya terus berkembang. Keuntungan yang saya dapat dari Uber juga agak lumayan. Sehinggalah di tahun kedua iaitu 2018, apabila perniagaan terus meningkat saya kemudian menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan “Break Away Rent A Car” saya.

Basharulhizam bersama Pengusaha Kereta Sewa Puncak Alam, Abang Joe (baju merah) dan Faizal. (Gambar Basharulhizam)

“Alhamdulillah, saya melabur dengan dua buah lagi kereta kerana tidak dapat menampung permintaan yang ada. Dari situ saya kenal dengan ramai agen dan Pengusaha Kereta Sewa di tempat saya,” ujarnya.

Rezekinya bagai sudah diatur, permintaan kereta sewa makin bertambah sehingga ada yang terpaksa diberi kepada rakan-rakan persatuan. Pada 2019, Basharulhizam memiliki 11 buah kereta sewa termasuk kereta dari pelabur.

Minggu meraikan pelanggan, antara inisiatifnya menghargai pelanggan yang setia. (Gambar Basharulhizam)

“Saya benar-benar bersyukur kerana di tahun ke-tiga dan ke-empat, rezeki saya datang mencurah sehingga keuntungan yang saya dapat lebih tinggi dari gaji yang saya terima semasa bekerja dahulu dan hari ini saya mempunyai 17 buah kereta sewa,” ujarnya.

Namun begitu, Basharulhizam tidak menafikan selama empat tahun menjalankan perniagaan kereta sewa, dia juga pernah mengalami beberapa kejadian buruk sama seperti pengusaha lain.

“Saya nyaris ditipu ‘scammer’ tetapi nasib baik saya cepat sedar. Dokumen yang diberi dibuat atas nama orang lain. Mujur saya tidak tertipu. Pernah juga saya cuba ditipu oleh penyewa yang culas membayar sewa pada bulan ke-empat. Tetapi saya bernasib baik kerana setiap kereta disediakan sistem GPS, jadi ini memudahkan saya mengesan di mana kereta itu berada,” katanya lagi.

Sewaktu bercuti bersama keluarga di Kota Kinabalu, Sabah. (Gambar Basharulhizam)

Dalam keadaan dunia dilanda pandemik Covid-19, Basharulhizam tidak terkecuali. Perniagaan kereta sewanya turut terjejas namun dia sedang memikirkan akan pelan pemulihan.

“Pelan pemulihan masih dalam perancangan tetapi buat masa sekarang saya banyak mengendalikan perniagaan menyediakan van sewa kepada pelanggan tetap saya yang turut terkesan akibat pandemik ini. Kebanyakan mereka kehilangan punca pendapatan dan mereka mula membuat perniagaan penghantaran produk dalam talian,” tuturnya.

“Break Away Rent A Car” sentiasa bersedia memberi khidmat kepada anda. (Gambar Basharulhizam)

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan kereta sewa, boleh menghubungi “Break Away Rent A Car” di talian 019-3666235 atau 03-3393513. Anda pasti berpuas hati dengan khidmat yang diberi juga kereta sewa yang bersih dan dijaga rapi pada harga yang berpatutan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com



from Free Malaysia Today https://ift.tt/37ElqNK
via IFTTT

No comments:

Post a Comment