Breaking news

Thursday 22 October 2020

Bolivia tolak politik ‘ibu abah’

Ibu baik, abah terbalik; Bolivia tolak semua dengan yakin. Presiden Bolivia, Jeanine Áñez yang pada April 2020, menggambarkan diri sebagai “ibu untuk semua orang Bolivia” menerusi status Instagram anaknya Carolina Ribera, diaibkan dalam pilihanraya umum presiden Bolivia pada 18 Oktober baru-baru ini. Bagaimana?

Begini, perikatan beberapa kelompok nasionalis Bolivia yang dipimpinnya kalah pilihan raya dengan teruk sekali. Áñez, pada mulanya ikut bertanding, tetapi menarik diri di tengah jalan ekoran percakaran sesama golongan kanan dalam muafakat tersebut. Kelompok kanan Bolivia terpaksa mengetengahkan hanya Carlos Mesa seorang, berimej sentris, demi mengalahkan calon kiri Luis Arce, calon Parti Movimiento al Socialismo (Mas) yang rapat dengan bekas presiden Morales.

Untuk nota, “ibu” Áñez adalah presiden sementara Bolivia setelah merampas kuasa daripada presiden Evo Morales menerusi bantuan Amerika Syarikat pada hujung November 2019.

Presiden Morales, adalah pemimpin pertama dari kalangan Orang Asli dan dari parti kiri dituduh dengan dakwaan terorisme lantas dipaksa meninggalkan negaranya. Beliau kini berlindung di Argentina. Secara meluas, pengulas politik menganggap pemerintahan “ibu” Áñez adalah kerajaan pintu belakang.

Selama hampir setahun, kerajaan rapuh di hujung tanduk pimpinan Áñez berusaha memenangi hati rakyat Bolivia. Selain memasyhurkan diri sebagai “ibu” untuk Bolivia, Áñez juga menggubah naratif politik Bolivia dengan menonjolkan diri dan kerajaannya sebagai kerajaan golongan konservatif kanan, mengangkat simbol-simbol agama (dalam hal ini Kristian Katolik) serta mempakejkan dirinya sebagai penyayang. Dalam tiap ucapannya, Áñez akan sering mengulangkan; “I ask you as a mother” atau “daku memohon sebagai seorang ibu”.

Di sebalik semua itu, “ibu” Áñez secara terbuka menafikan peruntukan untuk kaum Orang Asli, memburu penyokong parti kiri dan mengancam serta “merotan” mereka tanpa selindung, serta menafikan hak kebebasan media, seraya menekan gerakan hak asasi manusia.

Mereka di keliling “ibu”Áñez meyakinkannya yang dia adalah seorang yang popular. Beberapa portal berita berbayar menulis mengenai “kehebatan”, kealiman dan kasih sayang “ibu”Áñez. Beliau ditampilkan sebagai Kristian yang budiman, seorang ibu dan orang yang mempunyai autoriti di Bolivia.

Ucapan beliau selalu disulami nada keagamaan. Kemudian untuk terlihat lebih alim, pada 15 April 2020 lalu, “ibu” Áñez mengerahkan 4 penerbangan helikopter oleh Bolivian Air Force mengitari 4 bandar besar di Bolivia, iaitu Cochabamba, Tarija, La Paz, El Alto and Montero. Setiap penerbangan selama 1 jam itu membawa sama para paderi, aktivis dan pendakwah Evangelis dan ahli Parlimen kanan sambil menyirami khalayak dengan air suci dan pamflet keagamaan.

“Ibu” Áñez muncul memandang ke arah salah sebuah helikopter dan menyatakan; “penerbangan penuh berkah. Tuhan merestui La Paz”, dan foto Añez melambai dan berdoa itu diangkat di instagram.

Akan tetapi “ibu” Áñez memang bodoh. Netizen dengan segera mencungkil kos penerbangan di atas. Penerbangan di Tarija dilaporkan berongkos 11,500 dolar AS dan selebihnya 9,000 dolar. Jumlah itu adalah menyamai gaji minimum seorang individu di Bolivia untuk 5 tahun setengah, di mana purata pendapatan seorang hanya sekitar 307 dolar AS.

Netizen yang berpendidikan (netizen di Bolivia tidak terbenam berjuang di grup Whatssap dan Twitter serta berbahasa Inggeris) dengan segera turun padang dan menemui Orang Asli dan pengundi di kawasan pedalaman membawa berita ini. “Ibu” Áñez tidak menyedari ini kerana sibuk berebut kuasa sesama kelompok kanan.

Mungkin juga “ibu” Áñez hanya mendengar pandangan penasihat medianya bahawa jika politik abah-abah patriarki tidak jalan, barangkali politik ibu-mama ala matriarki akan disambut rakyat.

Pelbagai acara sembahyang dan doa di khalayak awam dianjurkan. Di La Paz, polis mengawal perarakan “Virgin of Copacabana” dengan niat untuk memelihara semangat rakyat yang resah dalam kuarantin.

Di Santa Cruz, pendakwah evangelis memainkan shofar, alat muzik Yahudi, dan memandu keliling kota dengan 20 kenderaan selama 5 jam di bawah anjuran Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Jabatan Agama (di Bolivia dikenali sebagai the House of Prayer Church). Untuk mendapat lebih kepercayaan, “ibu” Áñez menjual pula karisma adiknya, Juan Carlos Añez, seorang paderi yang turut bertanding sebagai wakil kota di Santa Cruz.

Punya sibuk main politik, beberapa menteri kerajaannya dijangkiti Covid-19, termasuklah “ibu” Áñez sendiri.

“Ibu” Áñez muncul 2 kali ketika Bolivia dalam kuarantin dan menyeru agar rakyat berpuasa dan bersembahyang (dia sendiri tampil berdoa). Akan tetapi netizen cerdik menolak seruan agama tersebut.

Di kawasan kejiranan kumuh misalnya, terdapat contengan grafiti, manakala di Twitter, orang mencemuh.

Seorang kolumnis, Paola Senseve dari portal berita El Deber menulis: “betapa ofensif dan memalukan di kala orang kebuluran”. Berita Bolivia tertumpu kepada kisah seorang anak kecil perempuan yang membunuh diri kerana tertekan, keluarganya tidak makan selama 2 hari. Anak ini salah seorang daripada 453,000 orang Bolivia yang berdepan dengan kemiskinan teruk seperti diramal Economic Commission for Latin America and the Caribbean (ECLAC).

“Ibu” Áñez masih tidak peduli. “Ibu” Áñez hanya mendengar pandangan penasihat medianya, bahawa jika politik abah-abah patriarki tidak jalan, barangkali politik ibu-mama ala matriarki akan disambut rakyat. Setiap kali berucap dalam perutusan khas (beliau jarang mengambil soalan daripada wartawan), dia akan mengungkapkan “God bless Bolivia”.

“Ibu” Áñez sendiri menyuruh menterinya agar selalu berdoa dalam acara rasmi, dia rajin bergambar dengan paderi dan ketika pertama kali melangkah masuk ke Istana Presiden dia dilihat membawa sama Injil sambil mesin propagandanya menyatakan: “the Bible is returning to the Palace” atau “Injil kembali ke pusat pemerintahan”.

Apabila ditanya oleh agensi berita BBC mengenai penonjolan keimanannya, “ibu” Áñez mengambil kesempatan menganjingkan presiden Evo Morales dan partinya, “Morales adalah seorang atheis”.

Betul bahawa 88.7%warga Bolivia beragama Kristian, sementara yang lain memilih kepercayaan pagan. Bolivia malah pernah dikunjungi Pope, pemimpin besar Katolik pada tahun 2015.

Peranan gereja dalam pilihan raya umum 2019 yang huru-hara itu dan kemudian dicampuri Amerika Syarikat bukan rahsia. Wartawan María Silvia Trigo dari Global Voices menyatakan di Bolivia, setiap utusan politik akan disulami elemen agama.

Malah agama memainkan peranan yang sangat penting. Áñez bahkan sanggup berbusana sebagai “Mrs Santa Claus” menyumbang hadiah kepada anak-anak miskin terpilih di government Palace meskipun ditertawakan.

Akan tetapi di sebalik asakan demi asakan agama, rakyat Bolivia tidak lupa yang tudung nipis dikenakan Áñez adalah dari bendera Amerika.

Dalam masa hampir setahun pentadbiran Áñez rakyat segera tahu dia tidak jujur dan penipu. Momokan buruk terhadap Parti Movement to Socialism tidak berkesan. Kemudian percakaran sesama kelompok kanan untuk berebut kuasa mengesahkan pada rakyat yang Áñez adalah boneka.

Contohnya pada September 2020, pertelingkahan merebut kuasa antara parti-parti kanan yang konon alim dan penuh paderi ini memaksa Áñez merombak Kabinetnya. Dia mengangkat Branko Marinkovic sebagai menteri kewangan (seorang ahli bisnes) menggantikan Óscar Ortiz.

Marinkovic adalah seorang yang korup dan pernah memburuk-burukkan kerajaan Morales selama beberapa tahun. Untuk memenangi hati Bolivia, Marinkovic mengumumkan tidak mengambil gaji dan menyumbangnya kepada para petugas kesihatan.

Itu kelihatannya tidak menjanjikan. Keadaan Bolivia melarat teruk. Wabak menjadi-jadi ekoran perebutan kuasa sesama golongan kanan. “Ibu” Áñez bahkan tiada pelan yang berkesan untuk menangani pandemik koronavirus, kerajaan kanannya tidak seperti kerajaan kiri Morales. Kerajaan Áñez sangat cenderung dan berpihak kepada saudagar bank.

Jadi meskipun rakyat Bolivia sukakan agama, mengapakah “ibu” Áñez tetap ditolak?

Jim Shultz, pengasas badan pemikir Democracy Centre Bolivia menyatakan, selama setahun rakyat Bolivia menyedari betapa “kumpulan konservatif kanan diberi peluang untuk memerintah dan membuktikan diri, tetapi ternyata mereka hanya berminat dengan kuasa dan telah menghina kaum orang asli dan masyarakat miskin. Mereka berpura-pura mengerti dan mengambil berat sambil mendakwa mempunyai wewenang. Malah pencabulan hak asasi manusia telah kembali, ketidakcekapan pentadbiran sangat meluas, dan korupsi kembali merebak. Rakyat ingin menyatakan cukup, sudah-sudah”.

Maka Bolivia tidak akan membiarkan sebuah pemerintahan pintu belakang daripada 1 tahun menjadi 1 penggal. Kerosakan ini harus dihentikan.

Jadi Luis Arce, calon Parti Movimiento al Socialismo (Mas) mengalahkan kem kanan yang merampas kuasa tahun lalu. Morales belum kembali. Akan tetapi, rakyat Bolivia menang. Mereka sepakat menganjingkan kembali Amerika yang menolong “ibu” Áñez menebuk atap. “Ibu” Áñez yang memainkan citra “abah” yang saban waktu tampil kaki berdoa itu pun dibuang Bolivia.

Demikian mentah-mentah disingkirkan. Orang Bolivia yang ramai populasinya tinggal di pergunungan dan rata-rata miskin itu ternyata cerdas politik, mereka tidak digulakan dengan politik abah-abah patriarki, apatah lagi politik ibu-mama ala matriarki. Alim dan wara’ bagaimana sekali pun Bolivia tidak mahu membeli dan pengundi menyatakan tidak kepada kerajaan pintu belakang dan permainan politik.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2ThMcDb
via IFTTT

No comments:

Post a Comment