PETALING JAYA: Penerbit Hollywood Riza Aziz menggugurkan tuntutan terhadap hartanah mewah dan aset lain bernilai AS$60 juta yang dirampas pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada 2016 dan 2017 sebagai sebahagian daripada siasatan skandal 1MDB.
Riza, 44, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, berdepan 5 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan AS$248 juta di Malaysia, tetapi tuduhan itu digugurkan sebagai pertukaran pengembalian aset bernilai AS$107 juta.
Anak lelaki Rosmah Mansor itu dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei.
Pendakwa raya AS percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diseleweng daripada 1MDB dalam 1 skim yang diurus ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.
Mereka berkata, dana itu digunakan untuk membeli hartanah mewah, kapal layar dan karya seni dan untuk mengadakan parti mewah.
Mengikut perjanjian difailkan di mahkamah di AS semalam, Riza mengugurkan tuntutan ke atas hartanah bernilai AS$60 juta dan aset lain, termasuk poster litograf untuk filem “Metropolis” 1927, lapor portal berita Variety.
Variety melaporkan Riza, pengasas bersama Red Granite Pictures dan penerbit “The Wolf of Wall Street”, menggugurkan tuntutan kepada 3 hartanah mewah – “Pyramid House” di Beverly Hills, sebuah kondominium di menara Park Laurel di Manhattan, dan kediaman di London.
Menurut laporan itu, beliau turut menggugurkan tuntutan berjumlah AS$28 juta dalam akaun bank Huntington National dan poster “Metropolis” itu.
Laporan itu menyebut aset yang dirampas termasuk hasil penjualan syarikat penyelenggaraan Kentucky yang mana Riza memiliki kepentingan.
Riza mengaku tidak melakukan sebarang kesalahan bawah perjanjian itu.
Variety turut menyebut, menurut mahkamah dana yang dirampas itu akan “digunakan untuk kepentingan rakyat Malaysia selepas pemotongan kos berkaitan kerajaan”.
Ia memetik pendakwa raya sebagai berkata kerajaan AS kini membantu dalam pemulihan sebanyak AS$ 1.1 bilion melalui aset 1MDB yang diseleweng.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3lIyLcr
via IFTTT
No comments:
Post a Comment