Breaking news

Thursday, 3 September 2020

3 badan pilihan raya bagus untuk demokrasi, kata pakar

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mengemukakan 49 cadangan kepada perdana menteri untuk memperbaiki sistem pilihan raya dan mengembalikan kepercayaan kepada SPR.

PETALING JAYA: Beberapa pakar menyokong cadangan untuk mengasingkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada 3 badan, dengan menyatakan langkah itu dapat meningkatkan kecekapan dan memberi jaminan kebebasan dalam menjalankan pilihan raya.

Namun, mereka berkata langkah itu dilihat bermanfaat hanya jika kerajaan benar-benar komited dalam memastikan penambahbaikan itu dilaksanakan.

Khamis lalu, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mengemukakan 49 cadangan kepada perdana menteri yang bertujuan untuk memperbaiki sistem pilihan raya dan mengembalikan kepercayaan kepada SPR.

Satu daripada cadangan utama adalah membahagikan SPR kepada 3 entiti berasingan, yang mana masing-masing menguruskan salah 1 daripada 3 tugas: penyelenggaraan daftar pemilih, penyusunan semula kawasan pilihan raya dan pentadbiran pilihan raya.

Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, pembahagian tugas akan membolehkan setiap badan bekerja dengan lebih cekap.

“SPR dibebani dengan begitu banyak tugas sebagaimana yang ada. Tiga tugas yang diamanahkan itu perlu dilakukan oleh suruhanjaya khusus,” katanya kepada FMT.

Katanya, ketiga-tiga kumpulan perlu beroperasi secara bebas antara 1 sama lain untuk mengelakkan pengaruh tidak wajar.

“Jika mereka bebas, rakyat akan mendapat keuntungan. Sekiranya mereka diberi kuasa untuk melakukan tugas mereka, pilihan raya boleh dilaksanakan dengan adil dan bebas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersih Thomas Fann berpendapat idea itu bukan sesuatu yang baru, tetapi perlu “meningkatkan integriti” pengurusan pilihan raya.

Beliau memberitahu FMT “alasan utama” pengasingan itu adalah bagi memastikan proses semak dan imbang dilaksanakan dengan betul serta untuk mengelakkan “sebarang kemungkinan konflik kepentingan”.

Katanya, ketiga-tiga badan itu “hanya menjadi baik seiring dengan undang-undang yang menentukan kebebasan mereka”, dan meminta prosedur ketat bagi memastikan kebebasan daripada pengaruh politik terutama berkaitan kakitangan dan perbelanjaan.

Dalam pada itu, Aira Azhari dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata cadangan itu dapat memastikan “suatu pengurusan pilihan raya lebih efisien dan khusus” jika kerajaan bersedia melaksanakan perubahan.

“Itu semua bergantung kepada kehendak politik kerajaan dan sama ada ia serius untuk melakukan perubahan institusi,” katanya.

Aira berkata, kumpulan itu perlu bekerja secara harmoni sambil kekal bebas.

“Seperti semua agensi kerajaan, perkara yang menjadi keutamaan adalah sama ada mereka boleh mengekalkan koordinasi dan kecekapan serta komunikasi yang lancar antara mereka,” katanya.

Cadangan ERC muncul selepas 2 tahun penyelidikan dan perbincangan. Pengerusi jawatankuasa itu Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, panelnya akan menghabiskan lagi 3 bulan untuk menjawab pertanyaan orang ramai, kerajaan dan media sebelum menyelesaikan tugasnya.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3jIXhrQ
via IFTTT

No comments:

Post a Comment