Breaking news

Monday, 21 September 2020

Perkiraan akhir adalah soal kepimpinan

Ada satu ketika sekitar tahun 2003, penulis dan beberapa wartawan lain mengunjungi Mahathir Mohamad di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya. Kunjungan itu bukannya untuk wawancara atau bagi mendapatkan berita tetapi hanya ziarah. Ketika itu beliau berusia 78 tahun dan dilihat bahawa beliau akhirnya sudah bersara daripada politik.

Yayasan Kepimpinan Perdana menempatkan bahan bacaan dan dokumen yang berkaitan dengan bekas perdana menteri, bukan saja Mahathir tetapi semua penyandang jawatan itu. Tetapi yayasan itu lebih terkenal sebagai pejabat beliau selaku bekas perdana menteri.

Kalau pemimpin negara lain mempunyai memorial, monumen atau tugu memperingati legasi mereka tetapi Mahathir lebih suka kepada yayasan yang mempunyai perpustakaan untuk menjadi tempat rujukan bagi generasi akan datang bagi memperolehi manfaat tentang soal kepimpinan.

Malaysia mempunyai pemimpin hebat seperti Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Bapa Kemerdekaan dan Tun Razak Hussein yang digelar Bapa Pembangunan. Tetapi tiada sesiapa boleh menafikan kehebatan Mahathir selaku perdana menteri yang mentadbir negara ini selama 22 tahun, walaupun tidak semua dasar-dasarnya berjaya.

Pada masa kunjungan itu, beliau telah melepaskan jawatan perdana menteri kepada Abdullah Ahmad Badawi dengan baik yang sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum bagi mendapatkan mandat rakyat baharu. Pilihan raya umum itu kemudian diadakan pada tahun 2004 dengan slogan Gemilang, Cemerlang dan Terbilang. Barisan Nasional menang besar dan PKR hampir kalah semua kawasannya. Anwar Ibrahim masih berada dalam penjara. PKR, PAS, Parti Rakyat Malaysia dan DAP berpakat dalam Barisan Alternatif. Dalam pilihan raya itu, PAS kehilangan Terengganu dan menang tipis di Kelantan.

Umumnya ketika itu pun memahami bahawa Abdullah tidaklah sehebat Mahathir. Malah ada sebahagian rakyat negara ini yang melihat Anwar mempunyai kepimpinan lebih baik daripada Abdullah. Pada satu masa, Mahathir sendiri pun berfikir bahawa Anwar yang akan menjadi pengganti beliau, dan bukannya Abdullah. Tetapi beliau seperti dikecewakan dan berasa Anwar tidak layak. Jadi Abdullah adalah paling layak dan diharapkan dapat meneruskan legasinya.

Calon perdana menteri mesti datang daripada Umno. Abdul Hadi Awang dari PAS tentu tidak boleh dapat diterima untuk jawatan itu. Apatah lagi Lim Kit Siang dari DAP.

Pada masa itu tentulah tiada sesiapa terfikir bahawa BN akan kehilangan majoriti 2/3 dalam pilihan raya umum dan Abdullah akan mengundurkan diri akibat antara lain tekanan daripada Mahathir. Begitu juga tidak terfikir bahawa Najib Razak yang menggantikan Abdullah akan ditentang sendiri oleh Mahathir yang bergabung dengan PKR dan DAP melalui suatu pakatan.

Akhirnya tiada sesiapa terfikir bahawa BN boleh dikalahkan oleh pakatan itu dan Mahathir menjadi perdana menteri bagi kali ke-2. Juga tidak terfikir bahawa sekutu beliau, Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali yang bertindak dalam 1 proses hingga menyebabkan tumbangnya kerajaan Mahathir. Pada tahun 2003, Muhyiddin adalah naib presiden Umno dan Azmin adalah pemimpin kanan PKR.

Ketika penulis bertemu bekas perdana menteri itu, beliau kelihatan gembira dan sihat. Maklumlah sudah tidak memikul tanggungjawab dan beban jawatan. Di depannya terbentang akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan berita banduan tentera Iraq yang didera oleh askar Amerika Syarikat di kem Abu Ghraib, suatu perbuatan menjijikkan yang dilakukan oleh tentera kuasa yang mendakwa diri mereka sebagai pelaksana demokrasi.

Beliau mengulas mengenai berita Iraq itu, dan dari awal lagi, bekas perdana menteri itu telah mengecam Amerika kerana melancarkan serangan ke atas negara Arab itu hingga mengorbankan banyak nyawa orang ramai yang tidak bersalah.

Bukanlah bermakna beliau menyokong Saddam Hussein atau sistem pemerintahan negara itu, atau dasar luarnya yang mendatangkan mudarat pada rakyat Iraq. Tetapi apa yang hendak diutarakan beliau ialah apabila sesebuah negara kehilangan pemimpin, negara akan kucar-kacir dan adalah amat sukar untuk mencari pengganti.

Ternyata jangkaan beliau itu betul. Selepas ketiadaan Saddam, tidak muncul sebarang pemimpin yang cukup kuat setanding presiden itu bagi memimpin Iraq. Negara itu terhumban dalam perang saudara dan Amerika yang mahu memperkenalkan demokrasi tidak dapat berbuat apa-apa. Perkara serupa bukan saja berlaku di Iraq tetapi juga Afghanistan dan Libya.

Tanggapan penulis terhadap telahan beliau itu ialah sistem tidak menjamin kejayaan sesebuah negara. Walaupun ia tetap penting. Begitu juga dengan ideologi dan budaya politik rakyat negara berkenaan. Tetapi kepimpinan itu adalah kunci kejayaan.

Beliau bercakap mengenai “enlightened leadership” atau kepimpinan bestari. Tidak kiralah apa sistem yang digunakan oleh sesebuah negara sama ada monarki mutlak, republik satu parti seperti Iraq zaman Saddam, demokrasi pelbagai parti atau demokrasi tanpa parti seperti Iran, tetapi apa yang menentukan sesuatu kejayaan bagi sesebuah negara adalah kepimpinan.

Demokrasi pelbagai parti seperti yang dianjurkan oleh Barat untuk seluruh dunia bertujuan memberi ruang kepada rakyat negara masing-masing memilih pemimpin mereka. Tetapi seperti yang telah lama dibincangkan oleh ahli sains politik, terdapat banyak kelemahan dalam konsep dan sistem demokrasi kerana ia tidak menjamin munculnya pemimpin yang baik. Malah sama ada sistem ini benar-benar menyampaikan aspirasi rakyat juga dipersoalkan.

Ada kalanya sistem demokrasi pelbagai parti ini berakhir menjadi sistem 2 parti. Di mana kedua-dua parti yang bersaing tiada beza, menyebabkan ia seolah-olah menjadi sistem 1 parti. Umpamanya, Parti Demokratik dan Parti Republikan tiada beza.

Atau sistem demokrasi Jerman antara Perang Dunia melahirkan pemimpin kejam seperti Adolf Hitler. Beliau mempunyai nilai kepimpinan tetapi sudah tentu tidak “enlightened” . Makanya, kepimpinan saja tidak mencukupi kalau tanpa “enlightened”. Berapa banyak diktator dari kalangan rejim tentera yang menampilkan kepimpinan tetapi tidak “enlightened” termasuklah Saddam.

Jadi isunya bukan saja kepimpinan tetapi juga “enlightened”. Hendak mencari pemimpin pun sukar, bertambah lagi sukar bagi mendapatkan mereka yang mempunyai nilai kepimpinan, lebih-lebih lagi yang “enlightened”. Atau rakyat wajar terima pemimpin yang paling baik di kalangan mereka yang tidak bagus.

Di Malaysia kini, calon perdana menteri ditampilkan dari 2 pihak, Perikatan Nasional dan sekutunya, BN, serta Pakatan Harapan dan sekutunya, Pejuang dan Warisan.

Penyandang sekarang ialah dari PN iaitu Muhyiddin dengan calon masa depan ialah Azmin dari PPBM. Sementara di pihak BN ialah Zahid Hamidi dan Mohamad Hassan. Di sebelah PH ialah Anwar. Tempoh untuk Mahathir dalam usianya sekarang sudah dikira berlalu. Beliau sendiri pernah mencadangkan Shafie Apdal dari Warisan.

Kepimpinan calon itu tidak terserlah lagi. Itu baru kepimpinan, belum lagi sebagai “enlightened leadership”. Untuk akan muncul tokoh seperti Onn Jaafar, Tunku, Tun Razak atau malahan seperti Mahathir hanya masa akan menentukan, dan bergantung juga pada nasib rakyat Malaysia.

Ketandusan kepimpinan bukan saja berlaku di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Ia juga bukan berlaku pada zaman ini tetapi juga sepanjang sejarah. Dunia menyaksikan empayar bangun dan jatuh apabila pemimpin berganti. Nasib manusia sejagat juga bergantung pada munculnya pemimpin yang bagus. Untuk mendapatkan pemimpin yang “enlightened” tentulah bertambah “jarang-jarang.”

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2ZViLuj
via IFTTT

No comments:

Post a Comment