Breaking news

Saturday, 22 August 2020

Selepas 35 tahun, 94 keluarga di Batu Arang masih menunggu tanah yang dijanji

Mat Jaiz Yunos menunjuk ke arah tanah di mana 94 keluarga terbabit sepatutnya membina perkampungan mereka.

GOMBAK: 94 keluarga di Rawang yang mahu membangunkan sebuah perkampungan Melayu ditawarkan tanah dan setiap mereka membayar RM4,523 untuknya.

Tanah itu sepatutnya diterangkan dan geran tanah diberikan kepada mereka untuk membina rumah.

35 tahun kemudian, tanah di tapak cadangan sebuah perkampungan Melayu di OC8 Batu Arang belum diterangkan dan mereka masih menunggu.

Ironinya tidak ada satu pun keluarga terbabit, termasuk 52 yang kemudiannya diberikan lesen pendudukan sementara (TOL) daripada Pejabat Daerah Gombak, yang pasti mengenai lokasi sebenar lot atau sempadan tapak perkampungan itu.

Mat Jaiz Yunos, ketua jawatankuasa yang berusaha mencari penyelesaian kepada masalah itu memberitahu FMT bahawa mereka menghantar permohonan untuk membina kampung berkenaan kepada Pejabat Daerah pada 1985.

Cadangan itu melibatkan 240 lot rumah berukuran 2,800 kaki persegi setiap satu.

Kelulusan diterima pada 1989 dan 94 keluarga berkenaan yang sehingga kini menetap di petempatan setinggan di tanah kerajaan di sekitar Batu Arang memohon lot tersebut dengan membayar RM4,523 setiap seorang untuk ukur tanah, bayaran premium dan geran milik kekal.

Hanya 52 keluarga mendapat TOL, sementara 42 yang lain masih menunggu jawapan daripada Pejabat Daerah.

Sebilangan penduduk yang membuat bayaran untuk tanah itu menunjukkan dokumen, termasuk surat yang dihantar kepada pihak berkuasa.

Mat Jaiz berkata: “Walaupun mereka berikan kami pelan, namun tanah ini hanya wujud atas kertas. Kami tidak tahu kedudukan sebenarnya kerana tiada penanda yang menunjukkan tanah itu milik kami.

“Walaupun jika kami teruskan dan mula membina perkampungan itu sendiri, kami tak tahu nak bermula di mana.”

Ini kerana pelan tersebut tidak menunjukkan sempadan sebenar atau lot bersebelahan.

Mat Jaiz berkata, sepanjang tempoh 35 tahun itu, mereka membuat pelbagai usaha untuk menghubungi pihak berkuasa dan mendapatkan maklum balas, tetapi tidak berjaya.

Beliau berkata, mereka menulis surat kepada Pejabat Daerah, Pejabat Menteri Besar Selangor dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor, tetapi tiada yang memberikan respons jelas berhubung kelewatan itu.

FMT menunggu respons daripada 3 agensi kerajaan itu.

Bercakap kepada FMT, penduduk Batu Arang dan ahli jawatankuasa kumpulan itu Hamzah Osman berkata, mereka juga telah menghubungi ahli Parlimen Selayang William Leong dalam sesi bertemu rakyat sebelum ini.

Katanya, Leong berjanji untuk meneliti perkara itu, tetapi tidak ada langkah susulan selepas itu.

Hamzah berkata, masalah itu turut dikemukakan kepada Adun Kuang Sallehuddin Amiruddin, yang menasihati mereka supaya menghubungi pegawai daerah.

Lebih buruk katanya, mereka perlu bermula dari awal setiap kali pegawai daerah Gombak bertukar.

Beliau juga berkata, mereka cuba bertemu Adun Rawang Chua Wei Kiat di pejabatnya, tetapi gagal.

Hamzah Osman berkata, beliau dan beberapa penduduk telah bertemu beberapa VIP bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Katanya, 52 keluarga yang diberikan TOL dikehendaki membayar RM52 untuk pajakan tersebut setiap tahun walaupun mereka tidak boleh menduduki tanah berkenaan.

Beliau berkata, lebih 20 penduduk yang berusia lanjut telah meninggal dunia sepanjang tempoh beberapa dekad mereka menunggu untuk berpindah ke kampung baru itu.

“Kawan-kawan kami telah meninggal dunia dan anak mereka masih menunggu geran tanah berkenaan. Semuanya telah dibayar, tetapi tidak ada tindakan diambil.

“Mereka kutip duit kami setiap tahun, tetapi tidak memberikan kami jawapan sebenar. Kami mahu tahu apakah status tanah itu,” katanya.

Hamzah mendakwa ahli jawatankuasa tersebut bertemu dengan pegawai daerah Gombak Disember tahun lepas dan diberitahu bahawa kelewatan itu disebabkan pertindihan dengan orang lain yang diberikan geran ke atas tanah yang sama.

Katanya, pegawai daerah berkenaan berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut, tetapi mereka masih menunggu.

FMT cuba mengesahkan perkara itu dengan Pejabat Daerah.

“Mereka meminta kami bersabar, tetapi kami telah bersabar selama 35 tahun. Kami tidak akan berputus harapan. Kami mahu masalah ini diselesaikan,” kata Hamzah.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/31hWA2m
via IFTTT

No comments:

Post a Comment