Pasti banyak orang akan ketawa apabila disebut mengenai idealisme dalam Barisan Nasional, Muafakat Nasional, dan Perikatan Nasional. Ini kerana dirasakan tidak ada sesiapa yang menyebut mengenai idealisme perjuangan gabungan-gabungan politik itu.
Ini kerana BN, MN, dan PN ditubuhkan untuk mengambil kesempatan bagi mendapatkan kuasa dalam keadaan politik semasa, maknanya tidak timbul soal dasar perjuangan apatah lagi idealisme. Lebih-lebih lagi PN yang ditubuhkan secara tergesa-gesa untuk menjadi wahana bagi penubuhan kerajaan “pintu belakang”.
Namun begitu, sebagai gabungan parti politik yang berdaftar tentu sedikit sebanyak mereka pasti mempunyai asas dan asal perjuangan masing-masing, walaupun dari segi amalan politik, pemimpin, dan ahli mereka sudah tidak mempedulikannya.
Lebih-lebih lagi BN yang ditubuhkan pada 1974 tentunya mempunyai idealisme perjuangan yang pernah diungkapkan pengasasnya, Abdul Razak Hussein. BN bukan saja melanjutkan perjuangan Umno dan Perikatan seperti mana digariskan Tunku Abdul Rahman, tetapi ia memperluaskan dan mempertingkatkannya.
Apa yang diperluaskan dan dipertingkatkan BN melangkaui pembentukan negara dan bangsa Malaysia dengan mengambil Dasar Ekonomi Baru sebagai idealismenya. Pada keseluruhannya, BN ketika penubuhannya mengungkapkan dasar perjuangan 9 parti komponennya ketika itu iaitu Umno, MCA, MIC, PAS, Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Parti Rakyat Progresif (PPP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), dan Perikatan Sabah. Perikatan Sabah dianggotai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan Persatuan Cina Sabah (SCA).
Tetapi tentu kini perjuangan BN sudah jauh berbeza dari dulu. Malah tidak ada pula yang mahu menyebut mengenai idealisme perjuangan. Apa yang hendak diambil perhatian ialah untuk mengambil kuasa yang terlepas sejak 2018. Kini BN tidak lagi bercakap mengenai negara dan bangsa Malaysia, kerana retoriknya sudah banyak mengenai Ketuanan Melayu. Walaupun DEB sudah lama berakhir tetapi ia kini dianggap sebagai hak orang Melayu yang tidak boleh digugat.
Pada masa ini, BN hanya dianggotai Umno, MCA, dan MIC. Maknanya ia kembali kepada keadaan Perikatan dahulu. Tetapi ia tidaklah menjadi seperti Perikatan pada zaman kepimpinan Tunku yang tumpuannya ketika itu pembinaan bangsa Malaysia yang berbilang kaum, merentas Sarawak dan Sabah.
Tak serupa asal
Sebenarnya antara apa yang membezakan BN dengan Perikatan pada 1974 ialah kehadiran PAS dan Gerakan. Sementara Gerakan terus berada dalam BN sehingga 2018, tetapi PAS disingkirkan pada 1978. Walaupun tempatnya digantikan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), tetapi BN pimpinan Hussein Onn sudah tidak serupa asal.
Tetapi dasar perjuangan BN banyak terjejas dan berubah akibat pergolakan politik di Sarawak dan Sabah. Terutamanya di Sabah apabila politik wang begitu meluas dan mendalam hinggakan tidak ada maknanya untuk bercakap mengenai perjuangan, apatah lagi idealisme.
Di Sabah, politik yang melibatkan Usno, Parti Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dan kemudiannya Parti Bersatu Sabah (PBS) menyaksikan walaupun terdapat ciri-ciri perjuangan untuk kepentingan kaum tetapi akhirnya apa yang diambil kira hanya untuk mendapatkan kekuasaan. Sementara di Sarawak pula, ia melibatkan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan parti penggantinya walaupun parti induk, PBB dan SUPP kekal sama.
Maka ketika BN berada bawah Dr Mahathir Mohamad, parti itu berkembang jauh daripada dasar perjuangan asalnya semasa Razak. Mahathir membawa sendiri wawasannya terhadap BN, berbeza daripada Razak dan Tunku.
Di Semenanjung, kedua-dua Berjasa dan Hizbul Muslimin (Hamim) dijadikan anggota BN tetapi ia tidak memberi impak seperti mana PAS sebelum ini. Namun apa yang lebih besar memberi kesan pada jati diri BN bawah Mahathir ialah perisytiharan Umno parti tidak sah, dan tempatnya digantikan dengan Umno Baru. Walaupun Umno Baru mewarisi Umno tetapi ia sudah berbeza dengan Umno yang ditubuhkan pada 1946.
Selepas pilihan raya umum 2008, perhatian BN bukan lagi mengenai dasar perjuangan atau idealisme. Abdullah Ahmad Badawi ditekan kerana menyebabkan BN hilang majoriti 2/3 dan 5 negeri. Najib Razak mengambil alih pimpinan BN atas misi untuk memulihkan kedudukan kuasa gabungan itu. Caranya ialah memecahkan Pakatan Rakyat dengan menarik PAS kepada pihaknya.
Asas persepakatan Umno dan PAS tentulah kaum dan agama, Melayu-Islam. Menekankan mengenai perjuangan Melayu-Islam sebenar membenamkan perjuangan asal Perikatan dan BN yang lebih tertumpu kepada pembinaan Bangsa Malaysia berbilang kaum merentas Sarawak dan Sabah.
Dulu dan kini
Kerjasama inilah kemudian merintis kepada penubuhan gagasan Penyatuan Ummah. Seringkali apabila disebut ummah, maka ia bermaksud kerjasama antara parti Melayu dan parti Islam. Pernah pada satu masa, iaitu pada 1990, PAS berpakat dengan Parti Semangat 46, maka ia dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah. Maka kali ini kerjasama Umno dan PAS dinamakan pula Penyatuan Ummah. Tetapi apabila ia melibatkan MCA dan MIC, maka ia dinamakan Muafakat Nasional. Perkataan “nasional” ini boleh dikatakan sebagai lanjutan kepada BN. Muafakat itu sebagai lanjutan kepada perkataan “pakatan”, apabila menggunakan perkataan Arab, ia menjadi “muafakat”. Sebelum ini pun, PAS anggota Pakatan Rakyat. Penggunaan perkataan “muafakat” untuk membezakannya daripada “pakatan”.
Dari satu segi MN ini tiada beza dengan BN. Kalau dahulu tonggak BN adalah kerjasama antara Umno, MCA, MIC dengan PAS. Maka begitu juga kini, iaitu kerjasama Umno, MCA, MIC dengan PAS. Bezanya kali ini MN, tidak seperti BN, ia tidak mempunyai Gerakan.
MN inilah yang sepatutnya memasuki pilihan raya ke-15 untuk melawan Pakatan Harapan. Tetapi keadaan ini berubah apabila berlaku Langkah Sheraton yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH.
Apabila PPBM dan kumpulan Azmin Ali meninggalkan PH, maka ditubuhkan PN bagi menampung PPBM, kumpulan Azmin Ali, Umno, MCA, MIC, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Pada mulanya ia dinamakan Pakatan Nasional. Ia untuk membezakan daripada Pakatan Harapan.
Tidak ada dasar perjuangan PN yang dijelaskan, apatah lagi idealisme. Ia hanya mengikut apa yang hendak dilakukan Muhyiddin Yassin. Tetapi dengan melihat nama PN, maka bolehlah ia dikatakan sebagai lanjutan kepada Perikatan dan BN.
Siapa ketua
Tetapi keadaan ini hanyalah seketika. Sebaik saja Najib didapati bersalah oleh mahkamah, BN mengumumkan tidak akan menyertai PN. Tanpa BN, parti yang menganggotai PN hanyalah PPBM, kumpulan Azmin Ali, PAS, GPS, PBS, dan Parti Solidariti Tanahairku (STAR).
Tetapi PPBM dilaporkan mahu menyertai MN. Jika perkara ini berlaku, PN bukan saja tidak relevan tetapi wajar terus dibatalkan penubuhan. Kalau begitu, apa bezanya MN dengan PN? Bezanya terletak pada siapa yang mengetuainya. PN diketuai oleh PPBM sementara MN diketuai oleh Umno.
Akhirnya semuanya adalah perkiraan untuk mendapatkan kuasa dan soal dasar perjuangan, apatah lagi idealisme sememangnya tidak timbul. Ia hanya terletak pada budi bicara pemimpin utama masing-masing. Maknanya, ia bersifat pragmatik, tanpa tulang belakang ideologi.
Sedangkan perkataan “nasional” itu begitu besar maknanya bagi kehidupan bernegara. Sebelum perkataan “nasional” digunakan, istilah yang dipakai ialah “kebangsaan”. Sebab itu parti Melayu pertama yang ditubuhkan ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebelum wujudnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3frTAEG
via IFTTT
No comments:
Post a Comment