Breaking news

Sunday, 1 November 2020

Ganda usaha kekal kanak-kanak di sekolah, Putrajaya diberitahu

Laporan Unicef mendapati 7% pelajar sekolah menengah memutuskan tidak menyambung pelajaran.

PETALING JAYA: Kerajaan dan guru digesa menggandakan usaha bagi memastikan kanak-kanak sekolah kekal menerima pendidikan walaupun berdepan perintah kawalan akibat Covid-19.

Aktivis pendidikan memberitahu FMT, mereka mencadangkan penggunaan televisyen yang lebih meluas untuk pengajaran dan perkhidmatan tuisyen percuma disediakan kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin.

Selain itu, lebih banyak perpustakaan dan pusat komuniti dibina di kawasan berpendapatan rendah.

Pengurus Penyelidikan Dasar Sosial Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Ya Shin berkata, pendidikan antara faktor penting dalam membantu kanak-kanak membina masa depan mereka.

Beliau berkata, kerajaan boleh menimbang membina pusat komuniti dan perpustakaan di kawasan berpendapatan rendah yang mana pelajar boleh mengunjungi untuk mengakses komputer dan perkhidmatan tuisyen percuma.

Oleh kerana tabung kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Unicef mendapati banyak keluarga kekurangan komputer untuk akses pembelajaran dalam talian, beliau berkata kerajaan boleh mempertimbang untuk menggunakan televisyen sebagai pengantara.

“Kebanyakan rumah mempunyai televisyen malah di kawasan miskin dan ia adalah penambahbaikan berbanding peranti mudah alih yang digunakan ramai kanak-kanak,” katanya.

Laporan Unicef baru-baru ini mengenai 500 keluarga berpendapatan rendah di Lembah Klang mendapati kanak-kanak daripada hampir 1/5 keluarga hilang minat untuk bersekolah sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, dengan 7% pelajar menengah memilih tidak kembali ke kelas.

Setiausaha Kehormat Kumpulan Tindakan Keluarga untuk Pendidikan Malaysia (Page) Tunku Munawirah Putra berkata, guru dan pentadbir sekolah perlu mempunyai profil kanak-kanak yang berisiko tinggi atau keciciran dan membantu mereka, dengan memberikan pendidikan vokasional kerana “kemungkinan besar mereka terpaksa mencari kerja untuk menolong keluarga”.

Sekolah harus menawarkan kelas tambahan ketika musim cuti sekolah kepada pelajar yang mungkin memerlukan bantuan tambahan kerana gangguan disebabkan pelaksanaan perintah kawalan yang berulang.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock, bersetuju kelas tambahan mungkin diperlukan kerana pembelajaran tetap akan mengalami gangguan walaupun selepas sekolah dibenarkan dibuka semula.

Beliau berkata, sekatan terhadap interaksi sosial menjejaskan keseronokan untuk bersekolah, manakala guru berdepan tekanan lebih besar bagi menjadikan kelas lebih menarik.

“Ibu bapa perlu sentiasa berhubung dengan guru untuk mencari pendekatan dan kaedah baharu mengatasi masalah ini. Semua pihak yang terlibat mesti memainkan peranan,” katanya.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/34KVn5J
via IFTTT

No comments:

Post a Comment