Breaking news

Thursday, 15 October 2020

Tepat masa Ku Li di depan ketika Umno buat keputusan masa depan, kata penganalisis

Tengku Razaleigh merupakan ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat di negara ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang perunding strategi politik berkata suatu langkah yang baik untuk ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat, Tengku Razaleigh Hamzah, berada di barisan depan ketika Umno sedang membuat keputusan untuk masa depannya.

Syed Arabi Idid berkata, veteran parti itu, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, boleh membimbing pemimpin dan ahli Umno dengan pengetahuan dan pengalaman dimiliki ketika berdepan konflik dalam pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Beliau juga boleh menjadi orang tengah antara pelbagai puak dalam parti itu. UMno memerlukan seseorang yang berpengetahuan dalam politik,” katanya kepada FMT.

Pada Selasa, Tengku Razaleigh, yang telah berkhidmat sebagai ahli Parlimen sejak 1974, dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara.

Syed Arabi Idid.

Setiausaha politiknya, Mohd Lokman Ghani berkata, pertemuan itu atas perkenan Sultan Abdullah untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai situasi semasa politik negara.

Terdahulu, ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dipanggil menghadap Agong selepas mendakwa mempunyai lebih daripada 120 ahli Parlimen yang menyokongnya untuk membentuk kerajaan baru.

Syed Arabi berkata, Umno berbelah bahagi dalam memutuskan sama ada mahu bersama PN atau menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Ia memerlukan sedikit sejarah dan pengalaman untuk maju ke depan. Ku Li boleh buat demikian dengan menggunakan pengetahuan beliau,” katanya.

Namun katanya, beliau tidak pasti berapa banyakkah kelonggaran yang akan diberikan oleh kepemimpinan Umno sekarang kepada Tengku Razaleigh kerana beliau mungkin mempunyai pandangan yang berbeza, tetapi “beliau mampu kembalikan daya tarikan lama Umno kepada parti itu”.

Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya Mei 2018, tetapi berjaya kembali berkuasa pada Februari dengan menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dalam gabungan PN yang baru. Beberapa bulan kemudian, perbalahan mengenai kerusi dan kedudukan menyaksikan keretakan dalam gabungan itu.

Semalam, dalam surat bertarikh 25 September yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, Tengku Razaleigh memohon jaminan supaya usul tidak percaya yang dibawa oleh ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad dibentang dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Dalam surat kepada Tengku Razaleigh bertarikh 29 September, Azhar berkata, beliau terikat dengan peraturan Dewan Rakyat dan “tidak ada masalah” untuk mempertimbangkan usul persendirian jika semua urusan kerajaan selesai atau terdapat usul daripada menteri di bawah Peraturan 14(2) untuk mendahulukan usul persendirian.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Putra Malaysia berkata, Tengku Razaleigh merupakan salah seorang pemimpin yang paling dikagumi pada 1980-an dan dilihat mempunyai kualiti kepemimpinan yang sama dengan Mahathir.

Sivamurugan Pandian.

“Terdapat beberapa personaliti hebat dalam Umno seperti Musa Hitam dan Ghafar Baba, selain Mahathir dan Ku Li,” katanya.

Pada 1987, Tengku Razaleigh mencabar Mahathir untuk jawatan presiden Umno dan kalah. Beliau kemudiannya menubuhkan Semangat 46 setahun kemudian, tetapi dibubarkan pada tahun 1996.

Sivamurugan berkata, Tengku Razaleigh masih menjadi ahli Parlimen kerana rakyat di Gua Musang, Kelantan, mahu beliau terus mewakili mereka.

“Sekarang beliau rasa beliau ada peluang untuk mendapat semula sokongan (daripada kepemimpinan Umno),” katanya, selepas Tengku Razaleigh menghadap Agong.

Katanya, walaupun Tengku Razaleigh mungkin akan mendesak usul tidak percaya terhadap Muhyiddin, namun ia terserah kepada perdana menteri untuk memutuskan sekiranya usul itu akan dibahaskan atau menasihati Agong supaya membubarkan Parlimen.

“Speaker berkata, beliau akan mengutamakan rang undang-undang kerajaan,” katanya, sambil menambah terserah kepada Muhyiddin untuk menasihati Agong sekiranya beliau mendapat sokongan majoriti daripada 221 ahli Parlimen apabila dewan mengundi Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 Nov.

Katanya, sekiranya belanjawan gagal diluluskan, Muhyiddin tidak akan mempunyai pilihan selain meletak jawatan bersama-sama Kabinetnya.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3dqJDYw
via IFTTT

No comments:

Post a Comment