Breaking news

Thursday, 29 October 2020

Pengusaha bot rekreasi terpaksa ikat perut akibat PKPB, kata persatuan

Persatuan Bot Rekreasi Selangor berkata, kaki pancing yang sering menempah bot mereka untuk memancing di tengah laut mula berkurangan secara mendadak akibat pelaksanaan PKPB. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketika nelayan di Selangor masih diberi ruang ke laut mencari rezeki, beberapa pengusaha bot rekreasi di negeri ini berdepan situasi berbeza akibat perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan hingga 9 Nov ini.

Persatuan Bot Rekreasi Selangor (PBRS) berkata, pengusaha terpaksa mengikat perut apabila pelanggan yang sebelum ini sering menempah perkhidmatan mereka untuk memancing di tengah laut mula berkurangan secara mendadak.

“Pendapatan untuk bot rekreasi ini terjejas sebab aktiviti memancing di tengah laut ini juga dihadkan, contohnya kalau sesebuah bot itu boleh memuatkan 4 hingga 5 orang sebelum ini, sekarang ini hanya boleh bawa 2 orang saja,” kata Setiausaha PBRS, Azhar Mohd Din kepada FMT.

Katanya, SOP bagi bot rekreasi sama seperti kereta, iaitu maksimum 2 orang pada satu-satu masa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, lanjutan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang sepatutnya tamat Selasa lalu berikutan peningkatan kes positif selain penilaian Kementerian Kesihatan masih ada lokasi berisiko tinggi penularan Covid-19.

Terdapat perbezaan antara bot nelayan dan bot rekreasi yang menyediakan perkhidmatan membawa kaki pancing ke laut. Bagi bot jenis ini, mereka hanya dibenarkan menangkap ikan menggunakan peralatan memancing.

Selain lesen bot, jurumudi juga perlu memiliki sijil kompetensi daripada Jabatan Laut seperti lesen memandu kereta.

Azhar berkata, ada pengusaha bot rekreasi yang menghentikan operasi sementara ketika lonjakan kes Covid-19 kerana bimbang tindakan mengambil pelanggan hanya membahayakan diri.

Katanya, ada pula yang mula mencari alternatif lain, seperti berniaga nasi lemak pada waktu pagi dan menjalankan perusahaan kecil lain.

“Katakanlah ada 10 pengusaha bot rekreasi, sebelum ini boleh dikatakan setiap minggu akan ada 10 bot yang ditempah, tetapi sekarang ini jangan kata separuh, kadang-kadang hanya 1 bot saja yang keluar (ke laut dalam). Itu pun dalam kalangan pengusaha bot ini saja.

“Bagi pemancing dan orang awam yang ingin ke laut, memang kita laksanakan SOP seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, tetapi ada pengusaha masih takut. Mereka memang berhati-hati dengan Covid-19 kerana bimbang dijangkiti.”

Lebih memeritkan, kata Azhar, pengusaha bot rekreasi perlu membayar kos “parking” dan penyelenggaraan bot.

“Walaupun tidak bergerak dan bot masih berada di laut, tetap kena buat penyelenggaraan juga. Jika bawa ke darat, perlu dibersihkan dan tetap kena ada yang jaga bot. Ia kos juga,” katanya.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3edLbWs
via IFTTT

No comments:

Post a Comment