Breaking news

Friday, 30 October 2020

Pengilang gesa pengurangan cukai dalam Belanjawan 2021

Persekutuan Pengilang Malaysia berkata, penurunan cukai akan membolehkan rakyat mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna dan mengalakkan perbelanjaan.

PETALING JAYA: Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) menggesa Putrajaya memasukkan rejim cukai “lebih kompetitif” dalam Belanjawan 2021.

Presidennya, Soh Thian Lai mencadangkan cukai korporat dihadkan pada 20% dan cukai ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada 15%.

Beliau memberitahu FMT, ini akan membantu menyediakan iklim perniagaan dan pelaburan kondusif, manakala dasar kerajaan perlu meningkatkan daya saing dengan mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Soh juga mencadangkan cukai pendapatan peribadi untuk tahun taksiran 2020 dan 2021 ditetapkan antara 5% dan 10% bagi mengurangkan kesan pandemik Covid-19 terhadap individu.

Soh Thian Lai.

“Ini akan membantu meningkatkan pendapatan boleh guna dan menggalakkan perbelanjaan, yang akan menyebabkan permintaan domestik lebih tinggi untuk barang dan perkhidmatan.

“Kerajaan juga perlu menyusun semula kumpulan cukai pendapatan peribadi supaya kadar cukai pembayar cukai tidak naik terlalu cepat.”

Beliau turut menggesa moratorium ke atas gaji minimum, yang ketika ini ditetapkan pada RM1,200, untuk 2 tahun akan datang kerana syarikat perlu menghidupkan semula perniagaan mereka dan kembali kepada keadaan sebelum pandemik.

“Kaji semula definisi gaji minimum sebagai gaji bersih, bukannya gaji pokok.

“Gaji minimum sepatutnya gaji asas dan semua pembayaran tunai dan elaun tetap didefinisikan sebagai upah di bawah Seksyen 2 Akta Kerja.

“Pemahaman 3 pihak sekian lama ialah pembayaran tunai atau elaun tetap di bawah Seksyen 2 diiktiraf sebagai upah sudah lama.”

Soh turut mencadangkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula pada kadar 3% dengan tempoh peralihan 6 bulan daripada cukai jualan dan perkhidmatan semasa.

Katanya, pelaksanaan semula GST akan mengukuhkan perdagangan di negara ini.

Beliau berkata, perlu ada had sebanyak RM500,000 untuk cukai itu dan Putrajaya juga perlu memastikan pembayaran balik tunggakan GST dilangsaikan sepenuhnya sebelum melaksanakan cukai itu semula.

Katanya, Putrajaya perlu mendorong transformasi perniagaan melalui penggunaan teknologi dengan meneruskan program untuk Industri 4.0 serta menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Beliau menggesa kerajaan menghapuskan had RM50,000 untuk R&D dan melanjutkan potongan cukai berganda secara automatik kepada firma terlibat untuk menggalakkan inovasi dan kreativiti.

“Peruntukan RM100 juta hingga RM200 juta untuk menubuhkan dana pembuatan masa depan untuk menyokong kerja R&D dan pelaksanaan R&D oleh universiti dan pusat penyelidikan kejuruteraan utama bagi menyokong penerapan IR 4.0,” katanya.

Soh turut menggesa penubuhan sebuah agensi yang menguruskan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) untuk memastikan kecekapan serta keseragaman latihan dan kelayakan bagi semua bidang.

Beliau berkata, levi pekerja asing boleh digunakan untuk menubuhkan dana latihan TVET kepada pekerja bagi meningkatkan kemahiran mereka.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3my1Hn0
via IFTTT

No comments:

Post a Comment