Breaking news

Friday, 30 October 2020

Pendapat berbeza berhubung deklarasi Covid-19 ‘kembali kepada normal’

Seorang pakar ekonomi dan doktor perubatan berbeza pendapat sama ada sekatan perlu dilaksanakan di tengah-tengah pandemik Covid-19.

PETALING JAYA: Satu petisyen yang ditandatangani pakar kesihatan dari seluruh dunia menggesa perlindungan disasarkan kepada kumpulan berisiko tinggi, sementara golongan tidak berisiko meneruskan kehidupan mereka ketika pandemik Covid-19, mendapat pelbagai reaksi di Malaysia.

Dikenali sebagai “Great Barrington Declaration” (GBD), pakar epidemiologi penyakit berjangkit dan saintis kesihatan awam dari seluruh dunia menggesa masyarakat kembali kepada kehidupan normal ketika dunia masih bergelut dengan virus itu.

Deklarasi itu berkata: “Mereka yang tidak berisiko tinggi perlu segera dibenar meneruskan kehidupan seperti biasa. Langkah kebersihan mudah, seperti mencuci tangan dan duduk di rumah, perlu diamalkan semua orang untuk mengurangkan nilai ambang imuniti kelompok.

“Sekolah dan universiti perlu dibuka untuk sesi pengajaran bersemuka. Aktiviti kokurikulum seperti sukan perlu disambung semula.

Carmelo Ferlito.

“Orang dewasa yang muda dan berisiko rendah perlu bekerja seperti biasa, bukannya dari rumah. Restoran dan perniagaan lain perlu dibuka. Seni, muzik, sukan dan aktiviti kebudayaan lain perlu disambung semula.

“Orang yang lebih berisiko boleh turut serta jika mahu, manakala seluruh masyarakat menikmati perlindungan diberikan kepada golongan berisiko oleh mereka yang sudah membentuk imuniti kelompok.”

Carmelo Ferlito, ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia, bersetuju itu pendekatan terbaik untuk menangani gelombang ke-3 Covid-19 di negara ini.

“Kita sudah lihat kesan ‘lockdown’ berlebihan. Saya setuju dengan GBD kerana ia adalah strategi tepat untuk melindungi kehidupan dan pendapatan golongan tidak berisiko sambil menekankan perlindungan bersasar kepada golongan berisiko,” katanya kepada FMT.

Beliau percaya kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) melebihi manfaatnya kepada masyarakat.

Katanya, kerajaan perlu membezakan mereka yang disahkan positif dan individu memerlukan rawatan intensif di hospital.

“Lagipun, alasan utama ‘lockdown’ ialah mengurangkan tekanan ke atas kapasiti unit rawatan rapi (ICU) di hospital.”

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye bagaimanapun berkata, deklarasi itu mempunyai kelemahan.

Katanya, salah untuk menganggap hanya orang tua terjejas dengan virus itu.

Dr Lee Boon Chye.

“Salah satu kematian terdahulu ialah seorang pemuda yang sihat dari Johor. Kita juga mempunyai seorang bayi berusia setahun yang meninggal dunia akibat virus itu.”

Beliau berkata, jangkitan dalam kalangan orang muda tidak boleh dipandang ringan.

“Walaupun kebanyakan orang muda yang dijangkiti sudah pulih, sekitar 5% daripada mereka yang dijangkiti mempunyai radang paru-paru signifikan yang memerlukan oksigen dan rawatan di hospital. Beban merawat pesakit ini sangat besar.

“Kita juga tidak tahu kesan jangka panjang Covid-19. Keradangan sistemik akibat tindak balas imun mungkin mempunyai kesan seumur hidup.”

Lee berkata, tiada bukti saintifik menunjukkan terdapat imuniti kelompok untuk Covid-19.

“Setiap virus berbeza. Sebagai contoh, kita tidak pernah berjaya mengembangkan imuniti terhadap jangkitan virus HIV. Untuk menganggap imuniti berpanjangan daripada Covid-19 ialah tindakan terlalu berani.”

Katanya, kawalan pergerakan separa di lokasi yang mempunyai penularan Covid-19 perlu dilakukan sehingga vaksin berkesan dihasilkan.

“Setiap kali PKP dilaksanakan, ia perlu dikaji semula setiap 2 minggu untuk memutuskan sama ada ia akan dilanjutkan, dipertingkatkan atau mengurangkan sekatan.”



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2Tz3ko7
via IFTTT

No comments:

Post a Comment