Breaking news

Saturday 24 October 2020

Pembedahan kosmetik: Pakar gesa penguatkuasaan lebih ketat berikutan kematian model

Seorang model dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani prosedur menyedut lemak atau ‘liposuction’ di Cheras, Kuala Lumpur, pada Sabtu. (Gambar Freepik)

PETALING JAYA: Pakar perubatan menggesa penguatkuasaan lebih ketat terhadap pembedahan kosmetik dan industri kecantikan susulan kes kematian seorang model yang dipercayai menjalani prosedur “liposuction” atau menyedut lemak.

Coco Siew, 23, meninggal dunia pada Sabtu ketika menjalani prosedur berkenaan di sebuah pusat kecantikan tidak berlesen di Cheras.

Degupan jantung Siew dilaporkan mula perlahan selepas menerima suntikan anestetik pada lengannya. Beliau dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Bercakap kepada FMT, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy berkata, insiden seperti itu pernah berlaku sebelum ini dan isu penguatkuasaan lebih ketat telah beberapa kali diusulkan kepada kerajaan.

Katanya, walaupun terdapat panduan untuk amalan perubatan estetik di bawah Kementerian Kesihatan, pihak berkuasa perlu memastikan amalan di lapangan sesuai dengan piawaian.

“Penguatkuasaan dan pelesenan premis iperlu lebih ketat. Pihak berkuasa perlu mengesan mereka yang tidak mengikut peraturan.

“Komplikasi dalam pembedahan boleh berlaku walaupun dibuat dengan baik, tetapi mereka yang terlatih dalam prosedur itu akan mengambil langkah penjagaan yang diperlukan bagi memastikan itu adalah perkara terakhir yang akan berlaku.”

Subramaniam berkata, ramai doktor perubatan memasuki industri perubatan estetik, walaupun tidak memiliki kelayakan perlu untuk melaksanakan pembedahan invasif seperti menyedut lemak.

Beliau berkata, ramai pakar bedah plastik di negara ini disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR), dan menggesa orang ramai supaya membuat kajian wajar mengenai klinik dan pakar bedahnya sebelum memutuskan untuk menjalani pembedahan.

Presiden Persatuan Pakar Estetik Berdaftar Antarabangsa Malaysia (AICA), Dr Ng Wee Kiong berkata, adalah haram bagi mana-mana untuk melakukan pembedahan kosmetik tanpa ‘Letter of Credentialing and Privileging (LCP)’ yang dikeluarkan oleh bahagian amalan perubatan Kementerian Kesihatan.

“Prosedur sedemikian mesti dilakukan oleh pakar bedah plastik atau pakar bedah kosmetik yang berkelayakan, bukan pakar kecantikan, pakar dermatologi atau doktor perubatan biasa,” katanya kepada FMT.

Ng menggesa kerajaan, terutama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri supaya bekerja lebih rapat dengan pengamal kecantikan bagi mengawal selia industri itu dengan lebih baik.

Beliau berkata persatuan akan menerbitkan garis panduan kepada pengamal kecantikan bulan depan untuk dijadikan asas kepada piawaian tepat dan etika dalam industri berkenaan.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2ThNCO2
via IFTTT

No comments:

Post a Comment