PETALING JAYA: Seorang pekerja Bangaldesh di kilang Top Glove di Ipoh kehilangan tapak tangannya dalam kemalangan semalam.
Tangan pekerja am itu hampir terputus daripada pergelangannya, selepas ia terperangkap dalam aci berputar sebelum syifnya selama 13 jam berakhir.
Beliau menerima rawatan kecemasan di kilang sebelum dihantar ke hospital, di mana doktor terpaksa memotong tangannya.
Top Glove mengesahkan “insiden” itu berlaku di kilangnya di Ipoh kira-kira 5.45 pagi dan pekerja itu dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Syarikat itu bertindak segera menetapkan langkah pembetulan tambahan yang ketat untuk terus mempromosikan kesejahteraan pekerjanya dan memastikan mereka selamat daripada bahaya dan kecederaan,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.
Seorang rakan sekerja pekerja itu memberitahu FMT, mereka di bawah tekanan untuk memenuhi permintaan sarung tangan perubatan yang semakin meningkat ketika pandemik Covid-19.
“Beberapa kemalangan tidak dilaporkan,” dakwa pekerja itu yang tidak mahu dinamakan.
Top Glove mencatatkan keuntungan tertinggi tahun ini susulan peningkatan permintaan untuk sarung tangan perubatan, dengan keuntungan suku ke-4 yang berakhir 31 Ogos lalu mencecah RM1.29 bilion, hampir 18 kali lebih tinggi daripada RM74.17 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Bagaimanapun, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia pada bulan lalu berkata, industri itu bergelut untuk memenuhi permintaan akibat kekurangan pekerja, yang menyebabkan kerugian hasil eksport kira-kira RM7.6 bilion buat tahun ini saja.
Pada 2018, Yayasan Thomson Reuters mendedahkan sesetengah pekerja bekerja lebih masa di Top Glove, di mana mereka sering bekerja syif 12 jam dengan keseluruhan 90 hingga 120 jam kerja lebih masa sebulan.
Dakwaan sama turut timbul ketika penularan pandemik dan dalam kenyataan terdahulu bulan ini, Top Glove berkata, ia mematuhi undang-undang buruh Malaysia yang menetapkan maksimum kerja lebih masa selama 104 jam sebulan dan rehat sehari dalam seminggu.
Rakan sekerja pekerja Bangladesh itu berkata, beliau antara mereka yang yang bekerja syif malam dari 7 malam hingga 8.30 pagi semalam. Syif itu termasuk rehat 30 minit sebanyak 3 kali.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) cawangan Pulau Pinang menggesa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menyiasat insiden itu kerana mereka berpendapat, kemalangan industri biasanya berpunca daripada kecuaian majikan menyediakan tempat kerja selamat.
“Kami difahamkan, semua operasi berbahaya – membabitkan bilah berputar, aci dan lain-lain – perlu dipasang dengan perlindungan pencegahan mencukupi seperti sistem suis sensor pengasingan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti kes ini,” katanya Setiausahanya, K Veeriah dalam satu kenyataan.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3e6V1tb
via IFTTT
No comments:
Post a Comment