KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 pegawai dan anggota polis dikuarantin, manakala sekurang-kurangnya 200 lagi sedang dirawat selepas disahkan positif Covid-19, kata Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin.
Katanya, kadar jangkitan tinggi itu membantut keupayaan dan kekuatan pasukan berkenaan dalam penugasan menjaga keselamatan serta keamanan negara.
Beliau berkata, polis ialah petugas barisan depan berpotensi besar terdedah kepada Covid-19 kerana mereka paling hampir dengan rakyat, yang belum dipastikan tahap jangkitan.
“Penularan Covid-19 semakin membimbangkan dan ramai petugas barisan depan telah terdedah dengan risiko jangkitan wabak tersebut.
“Walaupun mereka (polis) memakai pelitup muka, penugasan anggota polis memerlukan mereka berkomunikasi secara dekat dengan rakyat. Penjarakan fizikal tidak dapat diaplikasikan dengan sempurna dalam menentukan keselamatan dan keamanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata, terdapat anggota yang ditugaskan membantu imigresen menghalang pencerobohan pendatang tanpa izin.
“Menerusi Op Benteng antara 1 Mei hingga 18 Okt, pasukan keselamatan menahan 497 pendatang tanpa izin dan 28 tekong yang cuba memasuki dan keluar negara melalui Sarawak,” katanya sambil mengakui sumber dan kekuatan polis digunakan pada tahap maksimum.
Beliau menyeru rakyat menghargai pengorbanan petugas barisan depan dan bersama melawan pandemik itu seperti dinyatakan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, penghargaan tertinggi perlu diberikan kepada polis kerana sejak penularan pandemik itu, ramai dalam kalangan anggotanya berjuang tanpa menghiraukan penat lelah.
“Ramai juga antara mereka yang belum pernah berehat atau meluangkan masa bersama keluarga. Kita ketandusan masa dan sekarang bukan masa untuk berpolitik atau melobi sokongan terhadap individu tertentu menjadi perdana menteri.”
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3dYdNme
via IFTTT
No comments:
Post a Comment