Breaking news

Sunday, 11 October 2020

Lantik wanita ketuai agensi negeri, kerajaan Sabah digesa

Kerajaan GRS hanya mempunyai 2 pembantu menteri wanita – (dari kiri) Julita Mojungki (PBS) dan Flovia Ng (STAR) – dan seorang Adun lantikan wanita, Amisah Yassin dari PPBM Sabah.

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berharap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekurangan perwakilan wanita dalam Kabinet negeri dapat diselesaikan dengan melantik lebih banyak wanita untuk memimpin badan berkanun di negeri itu.

Menyifatkan isu itu sebagai “mengecewakan”, Rosnah, bekas timbalan menteri persekutuan, memahami kekecohan dalam keputusan itu kerana ia sudah jauh tersimpang dari amalan dahulu yang memberi pengiktirafan sewajarnya kepada pemimpin wanita.

“(Kekecohan itu) boleh difahami kerana (misalnya) pada zaman Barisan Nasional, wanita diiktiraf dalam semua sektor.”

Katanya, kekurangan wanita dalam kedudukan kepemimpinan adalah “satu perkara yang menyedihkan dan sangat mengecewakan”.

“Saya harap ini boleh diperbaiki dengan melantik wanita dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini kerana wanita memberi sumbangan yang cukup besar dalam pembangunan dan parti itu sendiri – sudah sampai masa untuk mereka diiktiraf. Ada baiknya untuk ada wanita sebagai satu faktor keseimbangan,” katanya kepada FMT.

Rosnah mengulas kerajaan GRS hanya mempunyai 2 pembantu menteri wanita – Julita Mojungki (PBS) dan Flovia Ng (STAR) dan Adun lantikan, Amisah Yassin dari PPBM Sabah.

“Kita masih mengharapkan kepemimpinan meneliti perkara ini kerana ada baiknya menjadikan wanita sebagai faktor keseimbangan. Ia pun sudah menjadi amalan sebelum ini dan kita harap ia boleh dibuat sama, terutamanya sekarang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Sabah, Jainab Ahmad Ayid meminta bertenang berhubung isu terbabit.

“Banyak orang sudah ada persepsi yang salah…Ada lagi jawatan lain seperti dalam GLC serta (jawatan) ahli majlis dan pemimpin komuniti yang masih boleh melantik wanita,” katanya kepada FMT.

Katanya, sayap parti itu percaya lebih banyak wanita perlu dipertimbangkan untuk jawatan seperti itu oleh kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Jainab, bekas menteri negeri dalam kerajaan BN sebelum ini, berkata Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin, yang merupakan ketua BN Sabah, memberi jaminan kepada ahli parti terutama wanita bahawa mereka termasuk dalam perancangannya.

“Beliau (Bung) beritahu kami dia menghargai kerja dan peranan yang dimainkan oleh wanita dan akan bekerja keras. Ada tempat untuk kita dalam pemerintahan (negeri), jadi saya menggesa semua wanita untuk terus berjuang dan jangan biarkan ini lemahkan semangat kita.”

Namun, pemimpin wanita lain tidak bersetuju dengan barisan kerajaan negeri yang baharu.

Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang, mempersoalkan mengapa kerajaan meletakkan Julita dan Flovia dalam kementerian yang sama (pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat).

“Dan mengapa mereka (GRS) tak jadikan mereka menteri? Walaupun Flovia masih baharu, Julita sudah lama jadi Adun dan dia cukup berkebolehan. Mereka sendiri tak ada kepercayaan pada wakil wanita mereka sendiri,” katanya.

Lasimbang, yang merupakan Adun Kapayan, bimbang akan isu yang semakin teruk berkaitan dengan wanita di negeri itu.

“Sekiranya anda mahu teruskan dasar yang baik mengenai wanita, mereka perlu jadi menteri. Saya rasa tanpa menteri wanita di Kabinet negeri bermaksud isu berkait wanita akan tertangguh.

“Tugas pembantu menteri adalah untuk membantu menteri. Oleh itu, sekiranya menteri itu seorang lelaki, isu-isu melibatkan wanita jadi semakin sukar untuk diketengahkan.”

Dalam pada itu, Persatuan untuk Kesaksamaan, Penghormatan dan Kepercayaan untuk Seluruh Sabah (SERATA) berkata isu itu menunjukkan wanita selalu dipinggirkan dalam politik Sabah.

Pengerusi Sabrina Melissa Aripen memberitahu FMT menteri wanita pertama Sabah dilantik hanya pada 1976, kira-kira 13 tahun selepas pembentukan Malaysia.

“Sejak itu, kita hanya ada seorang menteri penuh yang merupakan seorang wanita. Hanya dalam kerajaan lalu, kita ada seorang wanita yang dinaikkan pangkat sebagai timbalan ketua menteri dan 2 wanita yang berkelayakan sebagai pembantu menteri.

“Tiba-tiba boleh nampak kemajuan, contohnya, dalam usaha menyelesaikan isu perkahwinan kanak-kanak. Tetapi walaupun begitu, ia tak cukup,” katanya.

Beliau menambah nisbah populasi lelaki kepada wanita di Sabah hampir 50:50, jadi masuk akal sekiranya ia diterjemahkan dalam Kabinet negeri.

NGO lain, Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (Sawo) sebelum ini mengeluarkan kenyataan tegas mengenai kebimbangannya terhadap kurangnya perwakilan wanita, mengatakan ia “zaman kejatuhan” bagi wanita di negeri itu dan kedudukan serta status mereka mencapai “tahap yang paling bawah”.

Kumpulan itu berkata 6 calon wanita yang patut dilantik itu sebenarnya layak dilantik sebagai Adun kerana mereka bertanding pilihan raya itu dan memperoleh antara 35% hingga 42% daripada jumlah undi di kawasan masing-masing.

“Mesej kerajaan pimpinan GRS ini kepada wanita Sabah sangat kuat dan jelas. Mereka ingat wanita Sabah tak cukup bagus dan tak layak untuk duduk semeja dengan pemimpin lelaki untuk mentadbir negeri ini. Mesej kami kepada kerajaan baharu: anda akan tanggung padah sekiranya abaikan wanita.”



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3jOmJNp
via IFTTT

No comments:

Post a Comment