Breaking news

Saturday 31 October 2020

Ketidakstabilan politik jejas usaha tarik pelabur asing, kata pakar

Pakar ekonomi berkata syarikat asing akan meninggalkan negara berikutan sekatan pengambilan pekerja asing. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketidakstabilan politik dan masalah pekerja asing antara faktor yang menghambat usaha Malaysia menarik syarikat melabur di negara ini, kata ahli ekonomi.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) mencatatkan RM19.5 bilion daripada pelaburan asing dalam 6 bulan pertama 2020, dengan pengerusinya menyatakan beliau mengharapkan Malaysia terus menjadi hab pelaburan serantau walaupun berdepan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, profesor ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata, walaupun pendekatan inovatif Mida untuk menarik pelaburan amat tepat, ia tidak mencukupi kerana pelabur jangka panjang sangat mementingkan kestabilan politik.

“Kerajaan yang stabil amat penting bagi pelaburan asing untuk mencapai kadar pertumbuhan 1 digit tinggi yang diinginkan,” kata Yeah.

Goh Lim Thye, pensyarah kanan ekonomi di Universiti Malaya (UM), menyatakan laporan Bank Dunia 2013 menekankan pengurangan pelaburan yang ketara di Timur Tengah dan Afrika Utara dari 2003 hingga 2012 kerana kejutan politik yang buruk.

Goh berkata, kestabilan Singapura membuatkannya menonjol daripada persaingan.

Carmelo Ferlito, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, Malaysia berjaya dalam dekad yang lalu untuk menarik pelaburan asing walaupun merupakan pasaran kecil.

Namun, katanya, ketidakstabilan politik ketika ini bermaksud pelabur mengambil pendekatan “tunggu dan lihat”.

Ketiga-tiga mereka mengulas kenyataan pengerusi Mida, Abdul Majid Ahmad Khan baru-baru ini, Malaysia akan tetap menjadi sasaran pelaburan yang menarik walaupun pandemik Covid-19 dan ekonomi global tidak menentu.

Katanya, kelebihan Malaysia termasuk rangkaian rantaian bekalan tempatan yang kukuh dan boleh dipercayai, serta prospek pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

Ferlito berkata, dasar kerajaan baru-baru ini mengenai pekerja asing dan ekspatriat meletakkan Malaysia “dalam kedudukan sangat buruk” dan mendesak supaya dasar buruh dibincangkan dengan dewan perdagangan antarabangsa.

“Tidak ada syarikat asing yang sanggup datang ke sini dan tidak memiliki kebebasan sekurang-kurangnya memilih pengurus atasan mereka. Saya menjangkakan lebih banyak MNC akan meninggalkan Malaysia kerana ini,” katanya.

Ferlito berkata, larangan pekerja asing akan merugikan syarikat perkilangan dengan pengeluaran berskala besar, gudang dan sistem logistik, jenis operasi yang memerlukan sebilangan besar pekerja asing.

Goh bersetuju larangan pekerja asing akan merugikan ekonomi.

Katanya, anggaran tidak rasmi menyatakan Malaysia menempatkan hingga 6 juta pekerja asing, atau 18.6% daripada 32.6 juta penduduk negara ini – jauh daripada 2.1 juta yang didokumentasikan oleh Kementerian Sumber Manusia.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/37WoR2d
via IFTTT

No comments:

Post a Comment