Breaking news

Sunday 25 October 2020

Kenapa bimbang pilihan raya jika ada darurat kesihatan, kata peguam

Andrew Khoo (Kiri) dan Thomas Fann berkata pilihan raya tidak perlu diadakan.

PETALING JAYA: Seorang peguam dan aktivis reformasi pilihan raya menolak respons Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa kepada pengkritik yang mempersoal rancangan untuk mengisytiharkan darurat.

Berikutan spekulasi tentang kemungkinan darurat diisytiharkan, Annuar mencabar peguam supaya mengemukakan undang-undang alternatif yang membolehkan pilihan raya ditangguh.

Ahli jawatankuasa undang-undang perlembagaan Majlis Peguam Andrew Khoo, berkata darurat seluruh negara tidak perlu diisytiharkan kerana penguatkuasaan lebih ketat Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit boleh mengawal penyebaran virus itu sama seperti waktu perintah kawalan pergerakan mula-mula dikuatkuasakan sebelum ini.

“Kelemahan penguatkuasaan adalah punca masalah. Sangat lemah sehinggakan menteri Kabinet boleh melanggar peraturan dengan mudah,” katanya.

“Tetapi isu utamanya ialah sebab sebenar di sebalik pengisytiharan darurat telah didedahkan oleh menteri itu sendiri, dan ia tiada hubungan langsung dengan pandemik kesihatan.”

Beliau mempersoalkan tujuan Annuar membangkitkan isu pilihan raya, dengan berkata, ia hanya akan berlaku sekiranya kerajaan kalah undi percaya atau belanjawannya tidak diluluskan di Parlimen sekali gus menyebabkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu letak jawatan.

Annuar menyebut tentang pilihan raya kecil Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disembe, dan pilihan raya DUN Sarawak yang akan diadakan pada pertengahan 2021.

Beliau berkata, 87% pengundi tidak mahu pilihan raya umum diadakan kerana bimbangkan penularan Covid-19.

Khoo berkata, pilihan raya umum (PRU) tidak perlu diadakan walaupun perdana menteri meletak jawatan kerana Agong boleh melantik ahli Parlimen lain yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Khoo berkata, ketiadaan alasan kukuh bagi membolehkan darurat diisytiharkan telah didedahkan kepada umum.

Dalam pada itu, aktivis reformasi pilihan raya Thomas Fann berkata, negara lain menunjukkan bahawa pilihan raya boleh dijalankan dengan selamat dalam suasana pandemik.

“Kita sudah buat PRK di Chini dan Slim dengan selamat ketika berdepan Covid-19. Sabah sepatutnya lebih baik, namun kita boleh belajar daripada kekurangan itu dan juga negara lain.”

Katanya, PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak mesti diadakan, dan ia boleh dilaksanakan dengan selamat sekiranya peraturan kebersihan dipatuhi.

Fann bagaimanapun berkata, PRU tidak perlu diadakan.

“Sekiranya Muhyiddin benar-benar mahu menjaga kesihatan rakyat, beliau boleh sahaja meletak jawatan dengan baik bersama-sama Annuar dan angota Kabinetnya yang lain.

“Dewan Rakyat boleh memilih ahli Parlimen lain sebagai PM selepas itu.”



from Free Malaysia Today https://ift.tt/34sv9EN
via IFTTT

No comments:

Post a Comment