PETALING JAYA: Pasaran pekerjaan tidak lagi hanya melihat kepada kelayakan sijil ketika mengambil graduan bekerja, khasnya bagi sektor profesional, kata seorang ahli ekonomi dan ketua kumpulan majikan terbesar di negara ini.
Ia menyusul kenyataan sebuah badan pemikir Singapura, Institut Pengajian Asia Tenggara-Yusof Ishak (ISEAS) berkata, pasaran buruh di Malaysia gagal menghasilkan pekerjaan yang memerlukan kemahiran sesuai dengan kelayakan, walaupun belia di negara ini terus mencapai tahap pendidikan tinggi.
Katanya, ramai anak muda yang melakukan pekerjaan lebih rendah daripada berkelayakan mereka, cenderung meraih pendapatan kurang daripada gaji yang sepatutnya mereka perolehi dan tidak memanfaatkan sepenuhnya potensi produktif mereka.
Menjelaskan fenomena pasaran pekerjaan itu, ahli ekonomi, Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, walaupun pendidikan tinggi untuk menunjukkan kehandalan akademik masih diperlukan, ia tidak mencukupi untuk pasaran pekerjaan yang berintensifkan pengetahuan.
“Kelayakan sijil itu memberi isyarat kepada majikan, pencari kerja dilengkapi pengetahuan berteori dan berkaitan bidang pengajian tertentu.
“Namun, keberkesanan dan produktiviti pekerja dengan kelayakan sijil berbeza mengikut kualiti pendidikan dan kesesuaian kurikulum kepada industri, serta sifat individu seperti cita-cita, pembelajaran dan kemampuan menyesuaikan diri,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, beliau berkata, tidak adil menganggap peranan universiti semata-mata menghasilkan tenaga kerja.
Sebagai benteng pendidikan tinggi, katanya, universiti memainkan peranan utama dalam menyediakan pendidikan, mendedahkan belia kepada masalah dunia nyata, membentuk mentaliti mereka, memupuk pemimpin dan warganegara bertanggungjawab serta progresif kepada negara untuk mencapai kemajuan mampan dalam semua aspek kemanusiaan.
Yeah berkata, institusi pendidikan tinggi juga boleh membawa perubahan kepada industri dengan mengakhiri masalah ketidakpadanan pekerjaan.
“Universiti patut meneroka kursus baru yang relevan dengan industri. Universiti juga perlu memupuk kumpulan ahli teknologi, saintis, penyelidik, pencipta dan usahawan yang mampu memajukan pengetahuan serta inovasi dalam industri dan akademik.
“Bagaimanapun, ekonomi yang semakin rumit ini hanya boleh berlaku melalui pelaburan dalam teknologi, penyelidikan dan inovasi, sepadan modal insan dan bakat yang disediakan sistem pendidikan tinggi.”
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan berkata, perlu ada kerjasama silang antara universiti dan industri.
“Tenaga pengajar akademik perlu menjalani latihan dengan industri dan kakitangan industri juga perlu berkongsi pengalaman kerja mereka kepada institusi pendidikan.
“Kerjasama itu akan membolehkan institusi pendidikan mendapat maklumat mengenai tren terkini dan jangkaan industri terhadap bakat diperlukan.”
Katanya, graduan juga perlu mempunyai sikap yang betul untuk diambil bekerja.
“Mereka perlu cekap dalam bidang digital dan boleh menerima bentuk baru hubungan pekerjaan seperti dalam ekonomi gig dan platform e-dagang.”
from Free Malaysia Today https://ift.tt/2Hfsaqr
via IFTTT
No comments:
Post a Comment