Breaking news

Thursday, 29 October 2020

Kedah beralih pada swasta, jika gagal dapat pinjaman kerajaan bina lapangan terbang Kulim

Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pakar lapangan terbang mendapati Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim ialah projek yang boleh dilaksanakan. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, negeri itu memerlukan pinjaman kerajaan persekutuan sebanyak RM1 bilion hingga RM2.5 bilion untuk memulakan rancangan lapangan terbang Kulim yang bernilai RM6.8 bilion.

Beliau berkata, sekiranya gagal mendapat dana dari Putrajaya, Kedah akan mempertimbangkan beralih kepada sektor swasta bagi menyelesaikan projek itu.

Lapangan terbang yang dicadangkan itu, dengan kod KXP, akan dibina di tapak seluas 1,700ha dekat Sungai Petani dan menyasarkan ia mampu menampung 15 juta penumpang setiap tahun. Kerajaan negeri meramalkan penerbangan pertama akan bermula seawal 2024.

Sanusi berkatam pakar lapangan terbang mendapati KXP ialah projek berdaya maju kerana ia akan memenuhi permintaan penumpang dan kargo dari Kulim Hi-Tech Park dan sebuah taman perindustrian berdekatan seluas 6,000 ekar yang bakal dibina.

“Projek ini akan memberi faedah kepada Perak, Pulau Pinang dan Kedah yang akan membangunkan kawasan di Sidam, di mana kemakmuran Kedah di pantai barat akan tertolak ke tengah membawa kepada pembangunan kawasan baru di Sidam dan Kedah Tengah,” katanya dalam sidang media semalam.

Sanusi berkata, satu kajian mengenai lapangan terbang itu sudah dilaksanakan Aeroport de Paris Ingenierie (ADPI), perunding lapangan terbang Perancis yang memantau pembinaan lebih 40 lapangan terbang lain di seluruh dunia.

Katanya, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) turut membentangkan laporan mengenai permintaan pengangkutan udara pada masa depan hingga 2050, mengukuhkan lagi tujuan pembinaan lapangan terbang itu.

Beliau berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, yang merupakan lapangan terbang terbesar dari segi jumlah penumpang di wilayah utara ketika ini, hanya memiliki landasan tunggal dan tiada lagi tanah untuk menambah landasan lain.

Sebagai perbandingan, Sanusi berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang dicadangkan itu akan mempunyai 2 landasan apabila siap dibina dengan peruntukan untuk 2 landasan tambahan menjelang 2050 bagi memenuhi permintaan masa depan.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3my7OYt
via IFTTT

No comments:

Post a Comment