Breaking news

Wednesday, 14 October 2020

Ibu bapa dalam dilema akibat PKPB, majikan digesa benarkan kerja dari rumah

Dr Khairul Idzham Abdul Kadir membawa Arya, 8, dan Malik, 6 ke kliniknya di Puncak Alam, Selangor. Dua kanak-kanak ini menjalani sesi pembelajaran dalam talian susulan penutupan sekolah selama 2 minggu.

PETALING JAYA: Ramai ibu bapa terpaksa mengambil cuti kecemasan untuk menjaga anak susulan keputusan kerajaan menutup lebih 2,700 institusi pendidikan di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Sabah akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat selama 2 minggu.

Ada yang dikenakan caj jagaan tidak masuk akal sehingga RM50 sehari bagi seorang anak dan tidak kurang pula yang
terpaksa membawa anak ke tempat kerja kerana tidak dapat mencari pengasuh di saat akhir.

Doktor klinik swasta, Khairul Idzham Abdul Kadir, 36, antara ibu bapa yang berdepan masalah itu kerana perlu menjaga 2 anaknya ketika bertugas, selama 10 hingga 12 jam sehari sepanjang 14 hari, bermula semalam.

“Walaupun khuatir dengan penularan gelombang ke-3 Covid-19, saya terpaksa bawa 2 anak saya yang dicutikan dari sekolah ke tempat kerja.

Dr Khairul Idzham Abdul Kadir.

“Untuk keselesaan dan keselamatan anak-anak, saya tempatkan mereka di bilik khas supaya pembelajaran dalam talian menjadi mudah,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, isterinya tidak dapat memohon cuti kecemasan untuk menjaga anak mereka akibat penutupan sekolah selama 2 minggu.

“Majikan isteri seolah-olah tidak memahami kepayahan yang dilalui ibu bapa yang ada anak bersekolah. Kalau nak cuti, pihak majikan arahkan untuk tolak cuti tahunan.

“Bagi saya, kerajaan perlu keluarkan arahan pelepasan supaya sebarang perkara berkaitan Covid-19 tidak boleh melibatkan cuti tahun pekerja. Ini baru adil.”

Sementara itu, kakitangan sumber manusia di sebuah syarikat swasta yang hanya mahu dikenali Hasnita berkata, beliau terpaksa mengambil cuti kecemasan untuk menjaga anaknya kerana tidak dapat mencari pengasuh.

“Ada yang sanggup jaga, tapi pengasuh minta bayaran RM30 hingga RM50 sehari untuk seorang anak. Kalau 14 hari, hampir RM700 terpaksa saya bayar.”

Beliau mengesyorkan majikan memberi kelonggaran kepada ibu bapa untuk bekerja dari rumah sepanjang PKPB yang disifatkannya situasi menang-menang.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat menggesa kerajaan dan majikan memperkasakan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi mengurangkan kesan ekonomi kepada negara susulan penularan Covid-19.

Katanya, langkah itu dapat menyelesaikan keresahan pekerja apabila sekolah ditutup secara mengejut selama 2 minggu.

“Sekiranya persediaan BDR diperkasakan, ia sedikit sebanyak mengurangkan kesan ekonomi kepada sektor masing-masing kerana operasi masih boleh diteruskan walaupun tidak dilakukan di pejabat, sekaligus mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Dalam masa sama, ia boleh membantu pekerja menguruskan keluarga ekoran penutupan sekolah, tadika dan taska,” katanya kepada FMT.

Selain BDR, beliau berkata, alternatif lain yang boleh dijadikan normal baru dalam perkhidmatan awam dan swasta ialah memperkenalkan sistem penggiliran kerja.

“Sekiranya pekerjaan itu memerlukan mereka bersemuka dengan pelanggan, adakan sistem penggiliran bagi memastikan setiap pekerja diberi kemudahan BDR untuk uruskan keluarga masing-masing, tetapi kekal bertugas di rumah.

“Di sektor kerajaan dan swasta, keutamaan perlu diberikan kepada pekerja yang mempunyai pasangan bekerja di barisan depan.”

Adnan berkata, pekerja juga tidak sewajarnya dikurangkan gaji dan dipaksa mengambil cuti apabila memilih BDR.

“Apabila kebenaran BDR diberikan, tidak wajar pekerja dipaksa mengambil cuti atau cuti tanpa gaji kerana mereka berada di rumah dan pada masa sama melakukan kerja pejabat.

“Dalam hal ini majikan dan kerajaan masih mendapat keuntungan kerana pekerja bekerja seperti biasa, menggunakan fasiliti dan utiliti sendiri di rumah.”



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3j0Dd3A
via IFTTT

No comments:

Post a Comment