Breaking news

Saturday, 24 October 2020

Hospital Universiti akan siasat dakwaan ‘penganiayaan’ doktor pelatih

Sepucuk surat tanpa nama menyebut tentang pembekuan cuti di Pusat Perubatan Universiti Malaya, tetapi seorang doktor pelatih berkata beliau tidak tahu mengenai dasar tersebut.

PETALING JAYA: Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan “penganiayaan” ke atas doktor pelatih di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) hospital itu.

Hospital tersebut menjawab pertanyaan FMT mengenai surat tanpa nama yang menyenaraikan aduan seperti waktu kerja yang panjang, pembekuan cuti dan dakwaan buli dan dera oleh jururawat.

“Pengurusan PPUM sedang menyiasat perkara itu. Selain itu, kita meminta pengadu melaporkannya kepada Jabatan Komunikasi Korporat supaya kita dapat ambil tindakan lanjut,” kata pemangku pengarahnya Iskandar Ahmad.

Surat tanpa nama yang dihantar kepada FMT itu adalah daripada seorang pengadu yang menggunakan nama samaran “Burnt Out Doctor”, yang dikatakan sedang menjalani latihan (housemanship) di hospital berkenaan.

FMT sedang mendapatkan pengesahan identiti pengadu terbabit.

Ketika dihubungi FMT, seorang doktor pelatih dari jabatan itu mengesahkan bahawa aduan mengenai waktu kerja yang panjang dan peraturan ketat adalah benar.

Katanya, wujud jurang komunikasi antara pegawai perubatan dengan doktor pelatih, yang selalunya menimbulkan teguran “hatta bagi kesalahan kecil”.

Doktor pelatih itu berkata, selain kerap dimarahi, beliau sendiri tidak dibuli oleh doktor atau jururawat di jabatan tersebut.

Katanya, beliau juga tidak pernah mendengar apa-apa mengenai dasar pembekuan cuti.

Surat itu menyebut pegawai pelatih berhak mendapat 1 hari cuti wajib di bawah peraturan Kementerian Kesihatan.

“Namun, sejak bulan lalu, cuti wajib kami ditolak oleh Jabatan O&G,” tulis surat itu.

“Kami sudah buat 2 syif malam setiap minggu dan bekerja lebih lama setiap hari selama beberapa waktu. Kami tidak dibenarkan memohon cuti.”

Surat itu turut mendakwa mereka dipaksa bekerja tanpa rehat, dan suhu yang sejuk di jabatan itu menyukarkan mereka untuk menyudahkan kerja.

“Ramai antara kami (doktor pelatih) akan memegang inkubator bayi hanya untuk memanaskan tangan. Pelatih yang berada di wad lain masih perlu menjalankan tugas mereka dalam keadaan jari membeku selama lebih 12 jam tanpa henti.”

Surat itu juga membuat dakwaan terperinci mengenai penyalahgunaan kuasa oleh jururawat di jabatan itu, selain mendakwa doktor pelatih terpaksa mengambil sampel najis dan mencari fail pesakit sementara jururawat terbabit “duduk dan berbual sesama mereka.”

Tambahnya, sebilangan pelatih meletak jawatan dan berdepan masalah kesihatan mental.

Surat itu juga meminta tindakan diambil berhubung perbuatan buli dan menggesa Kementerian Kesihatan memeriksa perkara itu.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3kreaZ8
via IFTTT

No comments:

Post a Comment