Breaking news

Saturday, 17 October 2020

Hapus kerenah birokrasi, kawal selia Airbnb, kata pengusaha hotel

Persatuan pengusaha hotel berkata, terlalu banyak peraturan menyebabkan overhed mereka meningkat.

PETALING JAYA: Persatuan Hotel Malaysia menggesa kerajaan mengurangkan kos operasi mereka dengan mempermudahkan peraturan dan proses pendaftaran, selain mencari jalan untuk mengawal selia Airbnb secara adil.

Pengusaha hotel kerap membangkitkan isu kurangnya peraturan yang mengawal Airbnb dan rumah inap, yang menurut mereka menyukarkan kedudukan hotel berikutan overhed dan kos operasinya yang tinggi.

Minggu ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dimaklumkan bahawa garis panduan berhubung perkara itu sedang digubal bagi membolehkan badan pengurusan kondominium mengenakan denda ke atas pajakan Airbnb menerusi peraturan perumahan mereka.

Ketua pegawai eksekutif Persatuan Hotel Malaysia Yap Lip Seng memberitahu FMT bahawa pengusaha hotel kini dipaksa melalui simpang-siur yang “mengelirukan” hanya untuk memenuhi standard minimum.

“Ada lesen kerajaan tempatan, ada peraturan pekerjaan. Terdapat banyak peraturan yang terpisah-pisah yang perlu kami patuhi, dan kos pematuhannya menjadi mahal apabila anda menjumlahkannya.

“Di satu pihak, kami perlu berdaftar dengan kementerian pelancongan, tetapi ia tidak pula berkait dengan lesen perniagaan sebagai hotel, yang dikawal oleh kerajaan dan majlis tempatan.”

Beliau berkata, sistem pelsenan sehenti seperti di Singapura boleh memudahkan operasi hotel, selain mengurangkan kos.

Katanya, keadaan itu penting, terutama pada masa sekarang yang menyaksikan aktiviti pelancongan terhenti.

Pengarah eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia Shaharuddin M Saaid berkata, pemilik hotel berdepan pelbagai peraturan yang menyumbang kepada peningkatan kos overhend.

“Hotel antara lain perlu mendapat permit pra pembinaan, permit pembangunan dan lesen operasi. Kos semua perkara ini agak besar.”

“Jika kerajaan boleh mengurangkan bebanan ini, maka tuntutan mengawal selia Airbnb mungkin tidak menjadi begitu mendesak, sekali gus menjadikan padang permainan lebih saksama.

“Airbnb mesti dilayan seperti hotel, tetapi hotel juga memerlukan pelonggaran peraturan bagi memudahkan perniagaan dan mengurangkan kos pengurusan mereka.”

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia Emmy Suraya Hussein berkata, kos operasi pengusaha terus meningkat.

“Kami bayar cukai pelancongan, cukai korporat dan itu tidak termasuk lesen yang perlu diperolehi daripada kementerian perumahan dan pelancongan.”

Beliau bersetuju bahawa langkah menyelaraskan prosedur pentadbiran boleh membantu hotel berjimat, yang sangat diperlukan pada masa sekarang.

“Dengan penularan wabak Covid-19, perniagaan hotel tidak lagi menguntungkan. Jika kerajaan dapat mengurangkan sesetengah cukai dan meminimumkan lesen, ia sangat membantu,” katanya.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3dAOmqO
via IFTTT

No comments:

Post a Comment