Breaking news

Tuesday 27 October 2020

BNM tak perlu megah 98% permohonan lanjut moratorium diluluskan, kata majikan

Baru-baru ini, BNM dilaporkan berkata, kira-kira 98% daripada lebih 640,000 permohonan untuk bantuan bayaran balik pinjaman diterima, di mana 40% diberikan lanjutan moratorium dan 60% lagi menerima pengurangan bayaran ansuran pinjaman.

KOTA KINABALU: Persatuan Majikan Sabah mengkritik Bank Negara Malaysia (BNM) tidak patut bermegah dengan pengumuman 640,000 peminjam memohon lanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan.

Presidennya, Yap Cheen Boon berkata, walaupun hampir semua daripada permohonan itu diluluskan, pengumuman BNM sebenarnya lebih banyak menimbulkan persoalan daripada “kemegahan”.

”BNM sepatutnya melihat dengan lebih terperinci data diberikan, apa yang berlaku kepada 7 juta peminjam lain? Adakah mereka semua tidak terkesan dan mampu membayar balik pinjaman atau keadaan mereka itu tidak dicatatkan dalam rekod kerana ada sebab lain.

”Sekiranya ini berlaku (sesuatu yang disembunyikan), maka ia mungkin ada sesuatu yang lebih buruk berlaku daripada dinyatakan BNM.

”Berdasarkan 85% kadar bayaran balik sejak 1 Okt lalu, ia sebenarnya hanya menunjukkan potongan bayaran ansuran peminjam menerusi bank pada minggu pertama Okt dan potongan itu mungkin diperlukan peminjam bagi tujuan lebih kritikal seperti membayar bil tertunggak, makanan dan perbelanjaan untuk terus bertahan,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, BNM dilaporkan berkata, kira-kira 98% daripada lebih 640,000 permohonan untuk bantuan bayaran balik pinjaman diterima.

Katanya, 40% daripada jumlah itu diberikan lanjutan moratorium, dengan peminjam terdiri daripada individu baru
kehilangan pekerjaan dan perniagaan dalam sektor masih mengalami kekangan operasi ketara akibat Covid-19.

BNM berkata, 60% lagi menerima pengurangan bayaran ansuran, terdiri daripada peminjam yang memohon pengurangan bayaran ansuran, termasuk B40.

Katanya, kira-kira 50% daripada kalangan peminjam yang memohon bantuan bayaran balik pinjaman sehingga kini berpendapatan bulanan RM5,000 atau kurang.

Yap berkata, pihaknya juga mendapati ada kes di mana bank menolak permintaan menangguhkan bayaran balik pinjaman, walaupun permohonan lanjutan moratorium oleh peminjam masih dikaji.

”Ini benar-benar satu tindakan tidak bermoral dan menimbulkan lebih banyak tekanan hidup kepada individu atau peniaga.

”Ini menjelaskan BNM dilihat tidak begitu tegas dalam mengumpul maklumat untuk melaksanakan bantuan pembayaran balik bersasar.

”Ia juga sudah pasti menunjukkan BNM sebenarnya gagal dalam melihat kepada keadaan dan situasi, inilah sebabnya begitu banyak dewan perniagaan, persatuan malahan kesatuan yang meminta lanjutan moratorium secara automatik sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.”

Selain lanjutan moratorium secara automatik, beliau berharap BNM menghentikan semua pemotongan automatik oleh bank untuk November dan Disember ini.

”BNM juga perlu menetapkan dalam 2 bulan ini untuk menerima permohonan lanjutan moratorium bayaran balik pinjaman, seterusnya memproses permohonan itu dan penstrukturan semula skim pinjaman boleh dimulakan pada Januari 2021.

”Ini kerana akan ada banyak permohonan peminjam dan pihak bank pastinya tidak dapat memprosesnya dalam masa sama, jadi tempoh 2 bulan dilihat sebagai masa yang sesuai.”

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan berkata, lanjutan moratorium bayaran balik pinjaman bersasar menimbulkan banyak masalah kepada peminjam kerana keperluan membuat permohonan terlalu birokratik.

“Ia menimbulkan banyak masalah kepada peminjam korporat dan individu yang terpaksa membuat permohonan lanjutan secara individu atau korporat.

“Fasiliti sedemikian tidak popular kerana keperluan membuat permohonan untuk lanjutan dilihat terlalu birokratik.”

Bagaimanapun, katanya, peminjam perlu membayar pinjaman mereka sementara menunggu keputusan permohonan lanjutan moratorium dikeluarkan.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3kAx5km
via IFTTT

No comments:

Post a Comment