WASHINGTON: Seorang bekas pengumpul dana untuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengaku bersalah pada Selasa atas pertuduhan melobi Trump secara haram untuk menggugurkan siasatan ke atas skandal 1MDB.
Dalam perbicaraan di depan Hakim Persekutuan Washington DC, Colleen Kollar-Kotelly, Elliott Broidy yang memegang jawatan kewangan dalam kempen Trump pada 2016 dan jawatankuasa pelantikannya, mengaku bersalah atas satu pertuduhan feloni bersubahat untuk melanggar Akta Pendaftaran Ejen Asing.
Pendakwa raya mendakwa Broidy menerima bayaran berjuta dolar dari seorang warga asing untuk cuba mengatur siasatan AS ke atas penyelewengan berbilion dolar dari 1MDB ditamatkan.
Akta Pendaftaran Ejen Asing mengkehendaki individu yang melobi kerajaan AS untuk entiti asing berdaftar dengan Jabatan Kehakiman, tetapi Broidy mengakui dia tidak berbuat demikian. Dia berdepan hukuman penjara maksimum 5 tahun dan bersetuju AS$6.6 juta dirampas.
Dokumen dilihat Reuters menunjukkan Broidy turut gagal membantu ekstradisi jutawan Guo Wengui, yang terbabit dalam aktiviti politik anti-China berpangkalan di AS dengan bekas penasihat Trump di Rumah Putih, Steve Bannon, dari AS ke China.
Bannon kini berdepan pertuduhan persekutuan tidak berkaitan yang mendakwa dia dan 3 individu lain menipu penderma dalam kempen membina tembok di sempadan AS dan Mexico.
Hakim tidak segera menjatuhkan hukuman ke atas Broidy dan menetapkan pendengaran pada Februari tahun depan. Katanya, dengan kelulusan mahkamah, Broidy boleh melakukan perjalanan dalam AS dengan kebenaran pegawai perkhidmatan pra-perbicaraan.
Pihak berkuasa Malaysia dan AS menganggarkan AS$4.5 bilion dicuri dari 1MDB dalam skim terperinci dari serata dunia dan membabitkan pegawai tinggi dana itu, bekas perdana menteri Najib Razak, eksekutif di bank AS, Goldman Sachs serta lain-lain.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3dKs5a1
via IFTTT
No comments:
Post a Comment