PETALING JAYA: Banyak usahawan masih tidak tahu tentang program penjadualan dan penstrukturan (R&R) pinjaman yang disediakan bank untuk membantu mereka mengharungi kesan pandemik Covid-19 pada perniagaan, terutama selepas tamatnya moratorium umum pada 30 Sept, kata Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.
Presiden Abdul Halim Husin berkata banyak usahawan sebenarnya masih tidak menggunakan program R&R itu, walaupun kebanyakan perniagaan sudah mula berniaga.
Situasi itu antaranya kerana usahawan beranggapan urusan dengan bank sesuatu yang “rumit” dan “besar”, kurang publisiti, atau cara pemberitahuan yang tidak berkesan oleh pihak berkuasa.
“Cara pemberitahuan juga amat formal dan tidak menarik perhatian usahawan,” katanya kepada FMT.
Halim berkata DPMM akan terlibat secara langsung bagi membantu Bank Negara (BNM) dan Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit menarik lebih banyak usahawan menggunakan program R&R itu bermula bulan ini, selepas mendapati usaha BNM di 3 hingga 4 tempat sebelum ini tidak mendapat sambutan.
BNM di laman rasminya memaklumkan bank sedia membantu peminjam yang terjejas dengan kesan pandemik untuk menstruktur dan menjadual semula pinjaman, yang mampu mengurangkan obligasi bulanan dengan memanjangkan tempoh pinjaman atau menukar syaratnya.
Bentuk bantuan ini berbeza dengan moratorium, yang membolehkan bayaran balik pinjaman ditangguh “tetapi akan menyebabkan bayaran bulan meningkat”. Bank Negara pada Julai berkata individu atau syarikat yang memohon R&R tidak akan dimasukkan dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) sekiranya diluluskan.
Ditanya apakah usahawan tempatan mampu bertahan sehingga 2021, Halim yakin usahawan mampu beradaptasi dan boleh bertahan kerana kebanyakannya dari segi skala bersaiz kecil dan sederhana.
“Bahkan kebayakan usahawan tempatan terlibat dalam industri makanan, yang mana ia memang satu keperluan, tidak mengira musim wabak ini atau tidak,” katanya.
“Cumanya, usahawan yang melakukan perniagaan secara eksport, khususnya dalam industri pembuatan dan perhotelan serta industri pelancongan memang memerlukan tempoh yang lebih panjang untuk pulih,” tambahnya.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3cSI45E
via IFTTT
No comments:
Post a Comment