Breaking news

Saturday, 31 October 2020

AS keluarkan pasport kepada remaja lahir di Jerusalem

Duta Besar AS ke Israel David Friedman menyerahkan pasport itu kepada remaja berusia 18 tahun, Menachem Zivotofsky. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan pasport pertama kepada seorang rakyatnya yang lahir di Jerusalem, menyatakan Israel sebagai tempat kelahirannya, dasar yang mengundang kecaman Palestin tetapi akan mendapat sambutan baik dalam kalangan golongan pro Israel, lapor Al Jazeera.

Duta Besar AS ke Israel David Friedman menyerahkan pasport itu kepada remaja yang berusia 18 berkenaan, Menachem Zivotofsky.

“Israel adalah tempat kelahiran kamu,” kata Friedman kepada remaja itu yang berterima kasih kepada Presiden AS Donald Trump atas dasar berkenaan.

Trump mengambil pendirian pro-Israel sejak memegang jawatan, mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel pada 2017 dan memindahkan kedutaan AS ke bandar itu setahun kemudian walaupun menerima bantahan penduduk Palestin dan kumpulan hak asasi manusia.

Nabil Abu Rudeinah, jurucakap kepada Presiden Pihak Berkuasa Palestin Mahmoud Abbas, menyelar dasar itu dan menyatakan ia bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi antarabangsa.

Status Jerusalem sebagai tempat suci umat Islam, Yahudi dan Kristian antara isu paling kontroversi dalam konflik antara Israel dan Palestin.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/382NRoR
via IFTTT

No comments:

Post a Comment