Breaking news

Monday, 26 October 2020

”Art Market Malaysia” jual lukisan secara “online” untuk bantu artis seni

Hazrita menunjukkan salah satu lukisan yang dilukis oleh artis autistik.

PETALING JAYA: Selalunya di waktu-waktu begini, Pusat Perlancongan Malaysia (MaTiC) pasti dibanjiri pelancong dan pelawat tempatan tetapi petang Rabu lalu suasananya berbeza.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan bagi tujuan menghalang penyebaran virus Covid-19 telah ‘menutup’ kedatangan pelawat apatah lagi pelancong asing. Maka, pameran seni dalam talian terpaksa dijalankan dalam suasana ‘suram’ di MaTiC.

Di ruang legar itu, hanya kelihatan pengasas “Art Market Malaysia”, Hazrita Mohd Hatta sedang bersiap sedia untuk bersiaran secara langsung di media sosial bagi menjual hasil lukisan.

Hazrita merupakan orang yang bertanggungjawab menubuhkan “Art Market Malaysia” lima tahun lalu untuk dijadikan platform kepada para penggiat seni bagi membantu mereka mempamerkan karya mereka kepada orang ramai.

Hazrita telah lima tahun berkecimpung dalam dunia seni lukis.

“Di sini kami mempunyai lebih dari 100 orang artis yang menjadi ahli. Setiap tahun, kami akan mengutip yuran dari ahli-ahli dan mereka boleh menghantar hasil seni mereka kepada kami. Kemudian, kami akan membantu menjualkan karya tersebut di pameran yang selalunya diadakan di pusat membeli-belah,” jelas Hazrita.

Hari ini, dia berada di MaTiC untuk melaksanakan projek terbaharu “Art Market Malaysia” iaitu pameran mengenai alam dan kehidupan.

“Pameran ini adalah mengenai alam dan kehidupan. Sebelum pandemik, manusia sering merasakan mereka berkuasa terhadap bumi tetapi setelah pandemik melanda, barulah manusia sedar bahawa kita semua perlukan antara satu dengan lain. Saya rasa, bumi sedang marah dengan kita semua,” ujarnya berseloroh.

Perbezaannya kini, pelawat dan pelanggan boleh melihat lukisan-lukisan yang dipamerkan dari rumah mereka sendiri dengan lebih selamat. Mereka boleh melihat Hazrita secara langsung setiap hari di media sosial “Art Market Malaysia”.

Terdapat 60 buah lukisan akan dipamerkan di sini dengan tema alam dan kehidupan.

“Sekiranya ada pelanggan yang ingin membeli lukisan-lukisan ini, kita akan mengatur temujanji terlebih dahulu,” terangnya.

Menurut Haznita, terdapat 60 buah lukisan dengan pelbagai saiz dari 20 orang artis tempatan “Art Market Malaysia” akan dipamerkan. Pameran ini akan berlangsung sehingga 20 November.

“Art Market Malaysia turut membantu mempromosikan hasil lukisan artis autistik dan artis yang menderita penyakit luar biasa. Hari ini, kami mempunyai hasil seni daripada tiga orang pelukis istimewa iaitu, Amira Daniea, 15, Safiyya, 17 yang mengalami disleksia dan Aveen, 19 yang menderita ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) dan sindrom Aspergers.

“Kami juga mempunyai seorang artis bernama Liz Ariffin yang melukis menggunakan jari. Dia berjinak-jinak di dalam seni lukis pada 2018 selepas didiagnose kanser ovari. Melukis menggunakan jari adalah satu terapi buat Liz,” katanya.

Hazrita menjelaskan bahawa masyarakat Malaysia telah mulai menggemari hasil seni lukis tetapi mereka belum mahu membuat pembelian walaupun usaha menjual lukisan dalam talian telah dilakukan.

Pelanggan yang berminat boleh melihat lukisan-lukisan tersebut di laman sosial media “Art Market Malaysia” atau membuat temujanji untuk melihat.

“Jika kita pergi ke negara barat, kita harus membayar untuk masuk ke galeri dan orang-orang di sana tiada masalah, galeri mereka tetap ramai pengunjung. Di Malaysia, galeri seni kita adalah percuma tetapi untuk melihat orang masuk memang susah. Saya pernah membuat satu pameran di Australia dan dalam hanya lima hari, kami berjaya menjual lima lukisan. Di Malaysia, untuk menjual lima lukisan, kami mengambil masa lima bulan,” jelasnya.

Hazrita berharap pameran “online” ini akan menyebarkan perhatian dan minat rakyat Malaysia untuk menghargai hasil seni dari rumah mereka sendiri.

Manakala, Pengarah MaTiC, Rudy Irwan, percaya bahawa industri seni lukis di Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang baik, “Masyarakat Malaysia kini tahu menghargai seni lukis. Namun, masih banyak yang perlu diperbaiki. Saya percaya masa depan industri seni lukis di Malaysia adalah cerah,” katanya.

Untuk mereka yang berminat untuk melihat karya seni ini, anda boleh melayari laman Facebook dan Instagram “Art Market Malaysia”.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3orAsfG
via IFTTT

No comments:

Post a Comment