Breaking news

Sunday 25 October 2020

2 lagi firma berminat laksana projek dasar laut P Pinang

Projek terowong dasar laut dan jalan yang diselubungi kontroversi. (Gambar Reuters)

GEORGE TOWN: Dua lagi pihak berminat tampil untuk menyelamatkan projek terowong dasar laut dan jalan Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion selepas pemajunya mengambil langkah menstruktur semula syarikat.

Sumber memberitahu FMT bahawa sebuah syarikat perlombongan dan pembinaan yang berpangkalan di Pahang serta firma kejuruteraan dari Kuala Lumpur menunjukkan minat untuk terlibat.

Syarikat dari Pahang itu dikatakan bekerjasama dengan seorang bekas menteri pusat dalam projek tersebut, sementara firma dari Kuala Lumpur juga pernah terlibat melaksanakan kerja untuk projek itu sebelum ini.

Dua syarikat itu kini menyertai pemaju, yang berpangkalan di Kedah itu, Khor Eng Chuen dalam membida projek berkenaan.

Khor dan syarikat pembinaan yang berpusat di Pahang telah bertemu kerajaan Pulau Pinang untuk membentangkan rancangan mereka baru-baru ini, kata sumber.

Pada Rabu, kontraktor utama untuk projek tersebut, Consortium Zenith Construction (CZC) berkata, pihaknya kini melalui penstrukturan semula korporat bagi memastikan kontrak mereka disiapkan “dengan efisien” dan akan membentangkan rancangannya kepada kerajaan negeri.

Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB) mempunyai kepentingan dalam CZC.

ZCSB dikuasai oleh Vista Lestari Development Sdn Bhd, dengan pemegang saham utamanya ialah Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, yang merupakan pengarah eksekutif kanan CZC.

Projek terowong dasar laut dan jalan dicadangkan oleh kerajaan Pulau Pinang. Ia berkata, projek itu akan meringankan alirantrafik di jambatan pertama dan mengurangkan kesesakan di koridor lain di pulau itu.

Terowong dasar laut sepanjang 7.2 km itu akan dibina dari George Town ke Butterworth sekiranya kajian kebolehlaksanaan didapati positif.

Tiga jalan pintas juga akan dibina dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km), Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km) dan Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).



from Free Malaysia Today https://ift.tt/34tp0Z7
via IFTTT

No comments:

Post a Comment