Breaking news

Sunday, 20 September 2020

Tak fasih bahasa Inggeris punca graduan Bumiputera sukar dapat kerja, kata majikan

Shamsuddin Bardan berkata, sikap graduan Bumiputera yang segan bertutur dalam bahasa Inggeris kerana bimbang dikecam ialah punca mereka gagal menguasai bahasa antarabangsa itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan Malaysia berkata, graduan Bumiputera ketinggalan dalam mobiliti pasaran kerja dan pencapaian pendidikan bukan perkara baru atau mengejutkan.

Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata, masalah berkomunikasi dengan baik kerana gagal menguasai bahasa Inggeris, sama ada secara lisan atau bertulis, ialah punca utama graduan Bumiputera sukar mendapat pekerjaan di sektor swasta yang menawarkan lebih 90% peluang pekerjaan di Malaysia

Katanya, wujud tanggapan majikan sering mendiskriminasi graduan Bumiputera, tetapi hakikatnya ia bukan diskriminasi kerana bahasa Inggeris ialah keperluan utama dalam sektor swasta.

“Di sektor swasta, memang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris dan kita faham kenapa mereka berbuat demikian kerana pasaran diterokai di luar negara. Berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris ini memang digunakan menerusi e-mel dan sebagainya,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, laporan mengenai pengambilan belia bekerja di Malaysia yang ditulis Lee Hwok Aun dari Institut Pengajian Asia Tenggara-Yusof Ishak (ISEAS) berpangkalan di Singapura, mendapati Bumiputera masih ketinggalan dari sudut mobiliti pasaran kerja dan pencapaian pendidikan.

Katanya, walaupun mempunyai kelayakan, ada di antara Bumiputera, khususnya orang Melayu sudah berjaya, tetapi masyarakatnya terus ketinggalan dari segi pencapaian pendidikan dan mobiliti pasaran kerja.

Shamsuddin berkata, sikap graduan Bumiputera yang segan bertutur dalam bahasa Inggeris kerana bimbang dikecam ialah punca mereka gagal menguasai bahasa antarabangsa itu.

“Tidak perlu takut atau segan kerana bila sudah mahir, yang dapat manfaatnya adalah mereka juga. Syarikat boleh membentuk dan memberi (latihan) kemahiran lain kepada mereka.”



from Free Malaysia Today https://ift.tt/33J01PF
via IFTTT

No comments:

Post a Comment