Breaking news

Tuesday, 8 September 2020

Syor ERC: Memperkasa pengurusan pilihan raya

Selepas satu kajian menyeluruh selama 2 tahun, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), badan yang ditubuhkan kerajaan pada Ogos 2018, bagi melihat semula keberkesanan sistem dan undang-undang pilihan raya, dilapor mengemukakan laporan yang terdiri daripada 49 syor kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akhir bulan lalu, ketika suhu politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), masih tinggi.

Jawatankuasa khas ini ditubuhkan beberapa bulan selepas PRU14 bagi memenuhi kehendak dan harapan rakyat.

Ketika ditubuhkan, ERC diberikan tanggungjawab khusus untuk mengemukakan syor bagi memastikan pilihan raya di Malaysia pada masa depan akan dilaksanakan dengan lebih adil, telus, bebas, cekap dan profesional serta seimbang supaya setanding standard amalan antarabangsa dan mendapat kepercayaan awam sepenuhnya.

Dalam sidang media pertama pada 29 Ogos 2018, bagi mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu, di mana portal ini memetik Ab Rashid Ab Rahman sebagai berkata, pihaknya akan memfokuskan rombakan besar-besaran undang-undang dan amalan pilihan raya bagi mewujudkan sistem pemilihan lebih baik.

Menurut pengerusi ERC itu, pihaknya menyenaraikan 15 komponen untuk ditambah baik.

Dalam kenyataan terbaru, Rashid memberitahu bagi mencapai matlamat itu, sepanjang 2 tahun lalu ERC menjalankan satu kajian intensif dengan berfokuskan 15 komponen spesifik.

Pada sidang media yang diadakan sempena sesi penyerahan laporan pada 27 Ogos lalu, Rashid dipetik sebagai berkata, Muhyiddin memperlihatkan sokongan dan komitmen kerajaan terhadap usaha menambah baik sistem dan undang-undang pilihan raya.

“Perdana menteri memaklumkan akan membawa laporan ERC ke Kabinet untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kita mengucapkan tahniah kepada ERC kerana menyediakan laporan mereka bersama 49 syor. Kita belum lihat lagi laporan penuh kerana belum diedarkan kepada umum. Pun begitu, bersandarkan laporan media, syor-syor yang dikemukakan itu nampaknya menyeluruh, baik untuk negara, rakyat dan parti politik.

Ini satu sejarah bagi negara untuk menaikkan martabat pengurusan pilihan raya. Ia menyediakan asas kukuh untuk proses penambahbaikan sistem dan undang-undang pilihan raya yang diharapkan pihak berkepentingan dan rakyat jelata secara keseluruhannya.

Satu usaha menyeluruh selepas laporan yang dikemukakan jawatankuasa dibentuk Parlimen pada 2012, di mana hanya beberapa perkara saja dilaksanakan, termasuk penggunaan dakwat kekal.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan Rashid, ERC dikatakan mengesyorkan 3 fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diasingkan bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada suruhanjaya itu, dengan dipecahkan kepada 3 badan.

SPR akan kekal sebagai badan utama penggubal dasar dan menguatkuasakan undang-undang pilihan raya, manakala sekretariat pilihan raya yang baru akan menjalankan proses pilihan raya dan Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC) pula menjalankan urusan berkaitan persempadanan pilihan raya mengikut tempoh ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Syor lain adalah penetapan tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri 6 bulan sebelum tarikh sebenar ia dibubarkan, penetapan dasar seorang calon hanya boleh bertanding satu kerusi, memperkenalkan tempoh bertenang selama 2 hari sebelum hari mengundi, proses penamaan calon dalam talian dan hari penamaan calon lebih lama serta memastikan keseimbangan pemilih dengan memperkenalkan kategori dan kriteria bagi bahagian pilihan raya.

Inisiatif ke arah mewujudkan kod kerajaan sementara semasa musim pilihan raya dan kewujudan platform liputan media yang adil dan seimbang kepada setiap parti serta calon bertanding juga termasuk dalam senarai syor ERC.

ERC juga mengesyorkan pemindahan fungsi pendaftaran parti politik diserahkan kepada SPR. Syor ERC ini turut merangkumi penyelesaian mengelakkan budaya lompat-melompat melibatkan wakil rakyat, iaitu menerusi kaedah pilihan raya semula atau “recall election”.

Selain itu, ERC turut mencadangkan SPR perlu mempunyai kuasa untuk berfungsi sebagai audit dana parti politik, selain kuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.

“Kita cadangkan dalam laporan ini bahawa perbelanjaan pilihan raya mesti diaudit. Ini adalah salah satu fungsi SPR kelak,” kata Rashid.

Undang-undang pilihan raya negara diwarisi dari era British. Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang digunakan sekarang sudah wujud sebelum negara merdeka. Tidak dapat dinafikan undang-undang semasa adalah sesuatu yang baik suatu ketika dahulu.

Ketika sistem politik dan pilihan raya semakin demokratik, negara memerlukan undang-undang yang relevan dengan peredaran masa. Kita perlu melakukan penambahbaikan berterusan untuk menyegarkan sistem dan undang-undang pilihan raya.

Dari sudut pandangan umum, syor-syor yang dikemukakan ERC menarik dan relevan dengan keperluan semasa lanskap politik dan sistem pemilihan yang diamalkan di banyak negara.

Perlu ada usaha berterusan dalam soal langkah-langkah penambahbaikan sistem dan undang-undang pilihan raya. Hampir 7 dekad pilihan raya, pindaan undang-undang dan peraturan pilihan raya dibuat beberapa kali, iaitu pada 1990, 2002 dan 2013, tetapi ia tidak menyeluruh.

Menjadi harapan agar syor-syor yang diketengahkan ERC diterima Kabinet untuk pelaksanaan. Berita menggembirakan, perdana menteri juga memperlihatkan komitmen untuk membawa perkara berkenaan untuk perbincangan Kabinet.

Mengambil kira perkembangan sejak PRU 2008, pengurusan pilihan raya dengan penuh berwibawa, adil, telus dan sama rata sebenarnya akan menguntungkan dan memanfaatkan setiap calon serta parti bertanding kerana yang memilih itu rakyat dan pengendali pilihan raya adalah SPR.

Kita perlu menyediakan platform adil kepada setiap calon, parti dan rakyat yang membuat pilihan dengan pertimbangan waras. SPR perlu mempunyai kerangka perundangan cukup komprehensif agar tiada pihak membuat tuduhan dan dakwaan tidak berasas.

Syor ERC menyediakan perkara-perkara yang perlu dibaiki. Kita tunggu tindakan kerajaan, semoga semua pihak berpuas hati dengan penambahbaikan dan pembaharuan yang bakal diperkenalkan.

 

Adam Fazery ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2GFvISg
via IFTTT

No comments:

Post a Comment