Breaking news

Saturday, 5 September 2020

Sertai CPTPP boleh bantu pulih ekonomi, pakar beritahu Putrajaya

Majlis menandatangani Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik di Santiago, Chile pada 2018. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Kesan Covid-19 ke atas ekonomi mendesak Malaysia terpaksa mengetepikan kebimbangan kesatuan sekerja dan menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata pakar ekonomi.

Laurence Todd dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata Malaysia benar-benar perlu sertai suatu pakatan dagangan bebas.

“Perdagangan dan pelaburan tertahan ketika ini,” katanya, dan menambah “CPTPP memberikan peluang kepada Malaysia untuk menjadi lebih berdaya saing, sesuatu yang amat penting dalam keadaan ini.”

Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata CPTPP perlu diberi pertimbangan serius memandangkan keadaan semasa.

“Ada keperluan mendesak untuk merangsang semula ekonomi, dan rangsangan itu hanya boleh diperolehi dalam persekitaran perdagangan yang disediakan CPTPP,” katanya.

Laurence Todd

Kesatuan tempatan menolak perjanjian itu kerana kurangnya perlindungan untuk pekerja tempatan ketika pekerjaan berkurangan.

Malaysia dan 10 negara lain menandatangani pakatan itu pada Mac, tetapi Parlimen belum meterainya.

Apabila ia dilaksanakan sepenuhnya, CPTPP akan mencipta kawasan perdagangan ke-3 terbesar di dunia berdasarkan KDNK selepas Perjanjian AS-Mexico-Kanada dan Pasaran Tunggal Eropah.

Todd berkata pakatan itu menambahbaik tarikan Malaysia sebagai hab pengeluaran Asean dan boleh membantu banyak syarikat antarabangsa yang mahu menstruktur semula rantaian bekalan ekoran pandemik.

“Perjanjian ini berpotensi menjadi penting bagi beberapa negara di Asean kerana ia menyediakan wadah untuk integrasi yang boleh memudahkan rantaian nilai serantau atau sejagat,” katanya.

Walaupun iklim ekonomi semasa mungkin bermakna pulangan segera tidak memberangsangkan, Todd percaya hasil laba jangka masa panjang akan berbaloi, dengan jangkaan awal CPTPP akan meningkatkan KDNK.

“Tidak banyak yang kerajaan boleh lakukan untuk meningkatkan KDNK tanpa membelanjakan banyak wang, tapi melaksanakan CPTPP berpotensi menjadi salah satunya,” katanya.

“Covid-19 tidak semestinya akan menyebabkan perubahan kekal pada ekonomi. Apabila ekonomi kembali pulih, saya jangkakan manfaat CPTPP akan bertambah.”

Nambiar berkata menandatangani CPTPP tanpa memeterainya “bukan isyarat yang pelabur suka”.

Shankaran Nambiar

Masih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan pelaburan asing dan perdagangan sekiranya perjanjian itu ditolak.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon, mempertahankan bantahan terhadap CPTPP, mengatakan “ia mengancam hak pekerja dan merisikokan banyak pekerjaan atas nama perdagangan bebas” tanpa perlindungan yang berkesan.

“Banyak perkara dalam perjanjian itu dirangka untuk memberi manfaat kepada syarikat berbanding rakyat,” katanya.

Solomon menarik perhatian kepada perkara berkenaan penyelesaian pertikaian antara pelabur dan kerajaan, mengatakan ia membolehkan syarikat asing “menyaman kerajaan sekiranya perubahan dasar menyebabkan ia kerugian, walaupun perubahan dasar itu demi kepentingan negara atau orang ramai”.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia mesti tangani kebimbangan MTUC atau “mencari atau memulakan perjanjian perdagangan pelbagai hala lain yang melindungi hak pekerja.”

“Kerajaan belum mengemukakan hujah meyakinkan yang menunjukkan menyertai CPTPP untuk kepentingan pekerja kita, ekonomi kita, dan masyaakat kita,” katanya.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3jIEEUY
via IFTTT

No comments:

Post a Comment