Breaking news

Saturday 26 September 2020

Saya tidak bertanding pada PRU akan datang, kata Mahathir

Mahathir berkata, beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang, bekas perdana menteri itu memberitahu temu ramah media pada Khamis.

“Saya mahu kekal lebih lama sedikit, tetapi saya fikir saya akan berkhidmat untuk tempoh yang pendek,” beliau memberitahu agensi berita Kyodo di Putrajaya.

“Tetapi saya tidak akan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-15,” kata Mahathir. yang dipilih sebagai ahli Parlimen Langkawi pada 2018.

Mahathir, 95, memegang rekod sebagai ketua kerajaan yang paling tua apabila beliau kembali ke Putrajaya untuk kali ke-2 sebagai perdana menteri selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum Mei 2018.

Beliau sebelum ini menyandang jawatan itu untuk tempoh paling lama, iaitu dari 1981 hingga 2003.

Mahathir berkata beliau berharap anaknya, Mukhriz, akan meneruskan warisannya.

“Terserah kepadanya. Saya tidak akan menghalang haluan beliau. Ia tidak adil kepadanya,” kata Mahathir.

Mukhriz adalah presiden sementara Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan oleh Mahathir selepas meninggalkan PPBM.

Mahathir berkata, walaupun terkeluar daripada kerajaan, beliau akan terus memerangi rasuah melalui Pejuang.

“Pejuang mempunyai prinsip yang sangat kukuh, antaranya adalah menghalang negara ini daripada terus terjebak dengan rasuah,” kata beliau.

Beliau berkata, kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh PPBM yang pernah dipimpinnya meneruskan amalan rasuah seperti Barisan Nasional (BN).

“Selepas 3 bulan Perikatan Nasional menjadi kerajaan, saya tidak memberi sebarang komen kerana saya mahu melihat prestasi mereka. Malangnya, ia telah kembali kepada rasuah, iaitu dengan membeli sokongan kepada kerajaan. Walaupun begitu, ia hanya ada majoriti 2 orang,” Mahathir menambah.

Beliau berkata kerajaan PN didirikan melalui sogokan.

“Ia lebih teruk daripada rasuah. Seluruh kerajaan ditubuhkan melalui rasuah,” kata beliau.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3cAQy18
via IFTTT

No comments:

Post a Comment