PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata peluang Perikatan Nasional (PN) untuk menang besar di Sabah terjejas dengan kemelut calon ketua menteri negeri itu yang dicetuskan oleh PPBM.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, kenyataan PPBM itu diluar jangka kerana tidak dirunding terlebih dahulu dengan parti komponen PN, khususnya Umno.
“Hari penamaan calon baru berlangsung, namun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai presiden PPBM sudah umumkan calon ketua menteri Sabah.
“Hal ini menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan akar umbi Umno hingga ke peringkat pimpinan cawangan dan bahagian,” katanya kepada FMT.
Awang percaya reaksi tidak puas hati Umno boleh menyebabkan sokongan kepada PPBM terjejas lebih-lebih lagi kerana ia diumumkan tanpa rundingan dengan Umno terlebih dahulu.
“Pengumuman awal ini bukanlah tindakan politik bijaksana kerana ia akan memecahkan hubungan PPBM dan Umno.
“Tambahan pula PPBM bertanding tak banyak kerusi berbanding Umno. Kebanyakan tempat yang ditandingi PPBM mempunyai ramai ahli Umno dan ini membahayakan kedudukan parti itu,” katanya
Semalam, Pengerusi PPBM Sabah, Hajiji Noor menerima cadangan Muhyiddin yang mencalonkan beliau sebagai ketua menteri sekiranya Gagasan Rakyat Sabah berjaya memenangi pilihan raya negeri (PRN) itu akhir bulan ini.
Bagaimanapun katanya, perkara itu bukan keutamaan ketika ini kerana lebih penting ialah memenangi pilihan raya terlebih dahulu.
Muhyiddin ketika berucap sempena penamaan calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman di pejabat PPBM Tuaran berkata, parti itu akan mencalonkan Hajiji sebagai ketua menteri sekiranya mereka berjaya menumbangkan kerajaan Warisan Plus.
Penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, PRN Sabah sepatutnya menjadi manifestasi kerjasama PN, terutama antara PPBM dan Umno, tetapi berlaku sebaliknya susulan pertembungan 2 parti itu.
Katanya, ini berlaku kerana politik Sabah terlalu dibayangi oleh parti politik tempatan yang menyebabkan sukar untuk PPBM dan Umno berkompromi.
“Ini berbeza dengan politik Semenanjung yang menjadikan kerjasama lebih mantap.
“Bagaimanapun pertembungan antara PPBM dan Umno tidak menyeluruh dan dijangka tidak merosakan kerjasama sedia ada,” katanya.
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah
from Free Malaysia Today https://ift.tt/2GQkwSJ
via IFTTT
No comments:
Post a Comment