Breaking news

Monday, 21 September 2020

Pekerja berusia lebih terkesan hilang kerja, kata kumpulan majikan

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata orang muda mempunyai kelebihan kerana mereka lebih cekap, fleksibel dan celik IT.

PETALING JAYA: Pekerja lebih tua terutama mereka yang berusia 45 tahun ke atas, kini kurang mendapat pekerjaan dalam pasaran buruh yang lemah susulan pandemik Covid-19, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Menurut laporan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS), sejumlah 18,397 rakyat berusia lingkungan 45 tahun ke atas hilang pekerjaan setakat ini.

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata, kebanyakan majikan kini tidak dapat menawarkan pekerjaan tetap bagi jangka masa panjang kerana tidak yakin kelangsungan perniagaan mereka. Beberapa majikan yang mengambil pekerja menawarkan kontrak lebih pendek dan tempoh tetap untuk 1 tahun atau kurang.

“Majikan kini tertumpu pada kemahiran dan pengalaman seseorang dalam membantu pemulihan perniagaan, bukannya usia,” katanya.

Shamsuddin Bardan.

“Generasi muda mempunyai kelebihan, terutama mereka yang lebih cekap, fleksibel dan celik IT berbanding pekerja lebih tua. Mereka umumnya mahir secara digital dan boleh terima bentuk pekerjaan baru seperti ekonomi gig dan platform e-dagang.”

Dalam situasi pemberhentian sebagai pilihan terakhir, Shamsuddin berkata, majikan akan memilih siapa yang akan dilepaskan berdasarkan kriteria ditetapkan bawah Kod Tatakelakuan Keharmonian Industri. Ini termasuk kemampuan, pengalaman, kemahiran dan kelayakan individu pekerja diperlukan untuk operasi yang efisien dalam pertubuhan tersebut.

Oleh itu, mereka yang hampir dengan usia persaraan mungkin termasuk dalam kalangan pertama akan diberhentikan bagi memastikan pekerja lebih muda dapat terus menyumbang kepada syarikat, katanya.

Beliau menggesa mereka yang berdepan kehilangan pekerjaan meningkatkan kemahiran teknologi, memperluas pengetahuan mereka tentang literasi digital dan memanfaatkan inisiatif kerajaan seperti Penjana Kerjaya dan MYFutureJobs.

Jutaan rakyat terjejas

Bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon berkata, berjuta rakyat secara tidak langsung terjejas dengan pasaran buruh yang lemah kerana pekerja berusia 45 tahun ke atas kebiasaannya mempunyai tanggungan.

J Solomon.

“Berdasarkan purata usia perkahwinan rakyat Malaysia, ramai yang akan mempunyai anak ke kolej dan sekolah ketika mereka mencapai kumpulan usia itu, di mana secara automatik bermaksud mereka masih perlu membiayai anak-anak walaupun sudah membuat pinjaman pendidikan.

“Mereka yang berada dalam kumpulan ini juga akan mempunyai ibu bapa yang berusia dan sakit di bawah jagaan mereka kerana ini adalah budaya Malaysia. Pendek kata, ini adalah masa paling sukar dalam hidup mereka, ditambah lagi dengan Covid-19.”

Solomon berkata, tenaga kerja lebih tua lebih terdedah kepada pemberhentian berikutan gaji mereka lebih tinggi. Sebaliknya, pekerja yang lebih muda boleh diambil bekerja dengan gaji yang jauh lebih rendah, walaupun berasaskan kontrak.

Beliau berkata, majikan cenderung untuk memberhentikan kumpulan itu terlebih dahulu bagi mengurangkan kos operasi dan untuk mengelakkan membayar kos perubatan mereka.

“Pekerjaan hilang dengan majikan mengambil penyelesaian mudah walaupun terdapat bantuan kewangan yang besar daripada kerajaan.

“Melainkan jika ada lebih banyak bantuan yang akan datang daripada kerajaan seperti lanjutan moratorium pinjaman, bantuan tunai bulanan bagi mereka yang diberhentikan atau mewujudkan pekerjaan baharu. Pekerja ini akan terjejas teruk,” katanya.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3kzsZZ7
via IFTTT

No comments:

Post a Comment