Breaking news

Sunday, 13 September 2020

Pekerja banduan untuk ladang? Lindungi hak mereka, kata pakar

NGO berkata, tahanan yang dibenarkan bekerja di ladang kelapa sawit harus menikmati gaji yang sama dengan pekerja lain.

PETALING JAYA: Pakar berkata, langkah sesuai perlu diambil bagi mencegah salah guna sekiranya pengusaha minyak sawit dibenarkan menggunakan pekerja banduan seperti yang diusulkan baru-baru ini.

“Sepatutnya tidak ada diskriminasi berkait hak buruh. Jika tidak, kita akan dilihat seperti mempromosi perhambaan dan buruh paksa,” kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, J Solomon.

Kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata tahanan penjara berada di bawah undang-undang yang sama dan menikmati hak buruh yang sama serta jaminan gaji minimum seperti pekerja lain apabila mereka menjadi sebahagian daripada tenaga kerja.

Pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata, “terdapat banyak dakwaan mengenai buruh terikat dan perhambaan moden dalam industri, jadi kita tidak mahu ia berakhir dengan lebih banyak dakwaan sedemikian.”

Ketua Eksekutif MPOA Nageeb Wahab.

Banduan perlu diberi insurans dan perlu ada peruntukan jelas dalam kontrak mereka yang menggariskan isu liabiliti sekiranya mereka mengalami kecederaan atau sebarang bahaya dalam keselamatan pekerjaan.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, langkah membawa banduan ke sektor itu akan menjadi “situasi menang-menang”.

Katanya, ia bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada buruh asing, tetapi juga dengan pengalaman kerja itu akan meletakkan banduan di posisi yang baik selepas mereka dibebaskan.

Cadangan untuk menggaji banduan datang daripada ketua eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia, Nageeb Wahab dalam temu bual bersama media baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy.

Nageeb berkata, “kumpulan sasaran” persatuan itu adalah ribuan orang yang dipenjara kerana melakukan kesalahan kecil.

Katanya, pengusaha sawit menggaji banduan sejak 2016, tetapi langkah itu dipergiat sekarang kerana kekurangan tenaga kerja susulan pandemik Covid-19.

Walaupun penggunaan buruh penjara diperbolehkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), terdapat syarat ketat yang perlu dipenuhi dan penyertaan mereka hendaklah berdasarkan pilihan.

Ketua Pengarah MPOB Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Ahmad Parveez berkata, majikan wajib memberi pekerja insurans kerana mereka terdedah kepada “risiko tertentu” ketika bekerja di ladang.

“Sebenarnya, apa sahaja insentif yang diberikan untuk menggaji warga asing perlu diberikan kepada mereka (pekerja banduan),” kata Ahmad.

“Cukai tahunan, tiket pulang dan bayaran lain … semua perkara yang dibayar kepada pekerja asing perlu diberikan kepada banduan sebagai insentif.”

Jelasnya, mereka juga boleh terus bekerja walaupun selepas hukuman penjara berakhir yang akan menyelesaikan antara masalah yang biasa dihadapi oleh bekas banduan.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3mg362f
via IFTTT

No comments:

Post a Comment