Breaking news

Friday 18 September 2020

Pasukan kempen Trump nafi dakwaan serangan seksual bekas model

Donald Trump berdepan pelbagai dakwaan salah laku seksual sebelum dilantik sebagai presiden. (Gambar AP)

WASHINGTON: Kempen pemilihan semula Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Khamis menolak laporan sebuah akhbar mengenai seorang bekas model mendakwa pemaju hartanah New York itu melakukan serangan seksual dan merabanya di kejohanan tenis Terbuka AS pada 1997.

Amy Dorris dalam wawancara eksklusif bersama The Guardian berkata, Trump menyerangnya di luar sebuah bilik mandi di kawasan VIP ketika kejohanan 13 tahun lalu.

Menurut laporan itu, Dorris berusia 24 tahun ketika itu.

“Dia menjelirkan lidahnya ke leher saya dan saya menolaknya. Dan ketika itulah genggamannya bertambah erat dan tangannya meraba punggung, dada dan belakang saya,” kata Dorris dipetik akhbar itu.

Kempen pemilihan semula presiden pada Khamis menafikan dakwaan itu.

“Dakwaan itu palsu. Kami akan mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas The Guardian atas penerbitan laporan berniat jahat yang tidak berasas ini,” kata Jenna Ellis, penasihat undang-undang kempen Trump.

Usaha mendapatkan komen Dorris tidak berjaya.

The Guardian menerusi satu e-mel mempertahankan laporan itu.

Akhbar itu menyiarkan beberapa gambar didakwa diberikan Dorris yang menunjukkan beliau bersama Trump dan menemu ramah beberapa individu yang tahu kejadian itu selepas dimaklumkan Dorris ketika itu.

The Guardian berkata, Dorris memberikan 6 gambarnya bersama Trump yang menunjukkan mereka bersama serta tiketnya ke kejohanan itu ketika kejadian berkenaan berlaku.

Trump berdepan pelbagai dakwaan salah laku seksual sebelum dilantik sebagai presiden.

Sejurus sebelum pemilihan pada November 2016, satu rakaman rancangan hiburan “Access Hollywood” dari 2005 mendedahkan dia bercakap gah mengenai tindakannya meraba wanita.

Trump menepis dakwaan itu sebagai “gurauan bilik loker” dan memohon maaf.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3mH6zXY
via IFTTT

No comments:

Post a Comment