Breaking news

Sunday 20 September 2020

NGO dakwa air sisa restoran cuai cemari sungai

Pencemaran sungai baru-baru ini menyebabkan gangguan bekalan air di Lembah Klang.

PETALING JAYA: Aktivis alam sekitar berkata, pencemaran air akibat kecuaian restoran sama tahap kerosakannya kepada sungai di bandar seperti pembuangan sisa oleh kilang.

Gurmit Singh, pengerusi Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (Cetdem), berkata skala kerosakan akibat air sisa kepada sungai di bandar “agak sama” dengan kesan pencemaran kilang.

Katanya, tindakan sepatutnya diambil sejak dulu lagi.

Pengerusi Pusat Alam Sekitar Global, K Kalithasan senada kerana bentuk pencemaran itu mempunyai “kesan signifikan di kawasan bandar”, walaupun ia mudah dikawal.

Gurmit Singh.

Air sisa yang terdiri daripada pembuangan dari restoran dan isi rumah, perlu dirawat sebelum ia boleh dikitar semula sebagai bekalan air.

Apabila dibuang dengan tidak betul, ia akan memasuki sungai di bandar dan merosakkan ekosistem negara. Bahan kimia dan minyak yang biasanya terkandung dalam air sisa, berbahaya kepada haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang bergantung kepada sungai.

Terdapat undang-undang yang mewajibkan pemilik restoran memasang perangkap minyak, tetapi Gurmit berkata: “Kebanyakan mereka mengabaikannya. Saya tidak rasa mereka peduli, kecuali ketika mereka kekurangan air.”

Kalithasan berkata, restoran tidak memasang perangkap minyak kerana “tiada penguatkuasaan” undang-undang.

Beliau mendakwa pemilik restoran lebih suka menerima risiko kecil tertangkap daripada membayar kos pemasangan dan penyelenggaraan.

“Ia tidak mahal sangat. Tetapi bagi pengusaha makanan, semua ini akan menambahkan kos.”

K Kalithasan.

Katanya, sesetengah pemilik restoran tidak menyelenggara perangkap minyak yang dipasang mereka.

Gurmit mendakwa berlaku “kegagalan penguatkuasaan sepenuhnya” di Malaysia.

“Ia adalah masalah yang berlarutan selama bertahun-tahun. Mereka tutup sebelah mata. Kadangkala mereka tutup kedua-dua mata. Kadangkala mereka tampil dengan satu atau 2 kes dan kemudian tidak berbuat apa-apa selepas itu.”

Gurmit menggesa pihak berkuasa rajin mengesan mereka yang melanggar peraturan pemasangan dan penyelenggaraan serta memastikan mereka dihukum.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2Ha32ks
via IFTTT

No comments:

Post a Comment