Breaking news

Saturday 12 September 2020

Muhyiddin umum pembentukan Gabungan Rakyat Sabah hadapi Warisan dalam PRN

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, Gabungan Rakyat Sabah akan memastikan kesemua parti dalam gabungam itu bekerjasama sebagai satu pasukan. (Gambar Bernama)

TUARAN: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini, mengumumkan parti pembangkang yang menentang Warisan serta sekutunya pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

Katanya, Gabungan Rakyat Sabah adalah terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Semalam kami duduk bersama semua parti yang sudah sepakat untuk berjuang bagi membolehkan Sabah ini dibela, dibangunkan.

“Keputusan yang dicapai ialah menamakan gabungan parti yang ada sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

“Ini tanda bahawa kami bersatu hati untuk bersama-sama membentuk kerajaan pada 26 Sept nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena penamaan calon pengerusi PPBM Sabah, Hajiji Noor yang juga calon PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, di pejabat PPBM Tuaran, hari ini.

Turut hadir ialah ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan.

Muhyiddin berkata, Gabungan Rakyat Sabah akan memastikan kesemua parti dalam gabungam itu bekerjasama sebagai satu pasukan

“Setiap peringkat ahli parti, ketepikan segala perselisihan dulu untuk bentuk semangat baru, semangat itu ialah semangat Gabungan Rakyat Sabah.

“Kita mesti bekerjasama dengan Umno, PBS, SAPP, STAR, PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan MCA kerana 1 parti tidak mungkin akan menang, Gabungan Rakyat Sabah sahaja yang boleh membentuk sebuah kerajaan yang kuat.

“Kita mahu Sabah bangun lebih pesat. Kalau dipimpin oleh Gabungan Rakyat Sabah tentunya jauh lebih hebat daripada Warisan, mereka tidak mungkin dapat menandingi kekuatan kita kerana di (kerajaan) pusat saya perdana menteri dan di Sabah juga mesti sama (haluan dengan kerajaan pusat),” katanya.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/32koiwa
via IFTTT

No comments:

Post a Comment