Baru-baru ini saya diundang untuk berada di MACC.FM, saluran radio rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Rancangan itu diberi nama SPRM 360 dan saya diminta bercakap seputar tajuk, “Rasuah Perosak Peradaban Negara”.
Saya difahamkan yang MACC.FM ini salah satu wadah bawah Bahagian Pendidikan Masyarakat. Saya kira, di sebalik banyak kritikan dan pandangan serong masyarakat terhadap SPRM, bahagian yang paling penting tentunyalah bahagian ini. Justeru kerana ia mengkhusus dalam menjalankan fungsi dan peranannya mengikut Seksyen 7(f) Akta SPRM, iaitu menjadi tanggungjawab SPRM untuk ikut mendidik orang ramai untuk menentang rasuah. Manakala Seksyen 7(g) pula menyatakan keperluan untuk SPRM mendapatkan dan memelihara sokongan orang ramai dalam memerangi rasuah.
Perbualan bersama beberapa orang pegawai dan kakitangan di SPRM pada hari undangan tersebut membawa saya kepada kesimpulan penting. Pertama, mereka penat tetapi kekal bersemangat. Kedua, mereka perlu diberdayakan. Sementara ketiga, SPRM perlu dimerdekakan.
Saya katakan mereka penat kerana terlalu banyak penyelewengan, korupsi, dan rasuah dari sekecil-kecil kes sehinggalah ke sebesar-besar kes yang melibatkan orang-orang ternama. Kes-kes ini harus diingat, hanya dapat ditangani menurut ruang lingkup dan skop yang juga terhad. SPRM hanya, saya ulang hanya, diberi ruang untuk menyiasat sesuatu aduan sehinggalah terbina menjadi kes yang utuh. Namun demikian kuasa untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman bukan terletak di tangan SPRM. Aspek ini misalnya masih kurang dicermati oleh sebahagian kita.
Saya memberitahu kawan-kawan baharu saya di SPRM yang sebagai sebuah agensi penguatkuasaan; SPRM masih punya gengsi dan dipandang tinggi. Apabila berlaku salah guna kuasa di pejabat misalnya, kita masih boleh menggertak pelaku dengan kata-kata, “Aku adu ke SPRM nanti”. Jarang kita mendengar orang mengatakan, “Aku adu ke mufti nanti” atau “ke duta khas nanti”. Sebab orang tahu lebai dan mufti selain bukan bidang kuasanya, mereka juga tidak boleh diharapkan dalam hal-hal mencegah kemungkaran sebegini. Jadi, SPRM masih diharapkan orang.
Meskipun mereka letih berdepan dengan ketibaan fail kes yang bertalu-talu, dan terpaksa pula menepis dan menguruskan persepsi masyarakat – SPRM tetap bersungguh-sungguh melaksanakan tugasnya yang mulia iaitu pembasmian dan pencegahan rasuah.
Kedua, saya juga bilang yang SPRM, khusus Bahagian Pendidikan Masyarakat ini harus kekal diberdayakan. Saya menggunakan ungkapan pemberdayaan kerana menginginkan ia tumbuh dari bawah yakni kesedaran dari anggota masyarakat. Saya tidak menggunakan ungkapan atau istilah pemerkasaan kerana ia selalu datang dari atas, dan kita pun tahu orang atasan kita (yakni penguasa politik) tindak-tanduk mereka itu bagaimana.
Untuk memberdayakan pendidikan masyarakat bagi bersama-sama SPRM, mereka memerlukan dana besar. SPRM perlu turun ke sekolah untuk menjelaskan apa itu rasuah dan mengapa rasuah seperti juga dadah akan merosakkan diri dan masyarakat. Kempen Wira Anti Rasuah yang dilancarkan di sekolah-sekolah mesti disemai, dibaja, ditumbuhkan dan biar merebak besar jadi hutan penebat segala gejala rasuah. Ia mesti dilakukan di setiap pelusuk negara.
Kita harapkan satu hari nanti – apabila ada pilihan raya kecil kelak – pengundi yang akan menolak untuk mengambil sekeping dua sogokan politik kerana memang ia rasuah.
Kita mengharapkan lebih ramai orang seperti Nor Salwani Muhammad yang tidak mendiamkan salah laku orang atasnya. Kalau tidak kerana Salwani, dan kemudian keberanian media menghebahkan penyelewengan wang dan aset negara berjumlah bilion ringgit dan dolar, seluruh Malaysia akan ditipu hidup-hidup oleh penyangak rasuah sampai sekarang.
Kita mengharapkan tukang kira duit tabung sumbangan di masjid dan kuil akan lebih berjujur. Jika mereka tidak takutkan Tuhan, mereka paling tidak takutkan SPRM.
Kita mengharapkan animasi seperti Upin Ipin, dan BoboiBoy akan menyuarakan perihal rasuah dalam cerita mereka tanpa disuruh. Kita mengharapkan anak-anak di universiti yang akan keluar dan menyertai parti muda akan dengan sendirinya tahu mana yang rasuah mana yang tidak. Kita mengharapkan suri rumah tahu membezakan mana nista rasuah dan mana keji korupsi saat masuk mesej di aplikasi WhatsApp.
Kita mengharapkan ahli dan penyokong parti tidak lagi taksub saat pemimpin mereka dijatuhkan salah hukum atau didakwa kerana tuduhan berkaitan rasuah, penyelewengan dan penggubahan wang haram. Ini kerana didikan kita dalam politik selama ini bukan didikan berpaksikan demokrasi adil dan peduli. Didikan kita kadang-kadang berbaur perkauman. Bila Melayu-Islam misalnya tak mengapa berbuat salah. Konon “set-set kito”, atau “s’aing kito”. Konon iman lebih penting dari moral. Padahal moral persih itu datang dari iman yang benar.
Untuk semua itu terjadi dan sebati dalam diri sehingga terzahir sebagai budaya, ia haruslah melalui proses pendidikan masyarakat yang licin, semarak dan mengalir tanpa putus. Ketika itu, mungkin staf dan pegawai SPRM tidak kedengaran terlalu penat. Malah akan kian bertenaga memecut.
Strategi pemberdayaan ini menurut saya mestilah pertama, melakukannya menerusi pemupukan akauntabiliti; kedua, membaiki ketelusan, keberkesanan, dan tadbir urus secara demokratik dan seterusnya; meneguhkan norma dan pemakaian standard antarabangsa dalam menguruskan korupsi dan keempat atau terakhir; usaha yang lebih bersepadu dari semua pihak dalam menangani korupsi.
Memang bunyinya indah, dan kedengaran sedap tetapi langkah-langkah nekad mesti dilakukan.
Kita mesti terus mengasuh masyarakat yang dalam hal rasuah, terdapat 2 jenis kesalahan. Pertama, kesalahan prosedur. Di mana ia tidak dapat dihukum mengikut bentuk hukuman jenayah. Ini banyak berlaku di pejabat, katakan. Kemudian kedua, ada kesalahan yang memang jenayah. Yang ini boleh dihukum. Tetapi untuk tiba ke tahap dihukum itu harus melalui bermacam-macam proses dulu.
Untuk meleraikan masalah letihnya melawan rasuah dan kerja pemberdayaan masyarakat, kita tiba ke poin saya yang ketiga iaitu SPRM tidak dapat tidak haruslah dimerdekakan. Hal ini bukanlah pertama kali ditimbulkan tetapi mesti selalu disebut-sebut agar masyarakat terbiasa dan turut mendesak kerajaan melakukannya.
Hal-hal yang perlu dilakukan untuk memerdekakan SPRM itu ada 5 menurut saya.
A. Silalah letak SPRM ini bawah Parlimen dan ini termasuklah semua yang berkait pelantikan dan pemecatan ketua pesuruhjaya. Kita tentu membayangkan SPRM yang sukar untuk dipengaruhinya operasinya bila ia diletakkan bawah Parlimen.
B. SPRM mesti punya suruhanjaya perkhidmatan sendiri.
C. SPRM ini peruntukannya tidak boleh bergantung kepada Jabatan Perdana Menteri. Atau gajinya dibayar oleh Kementerian Kewangan dan dibidak Akauntan Negara. Sepertinya lapangan kehakiman, SPRM harus begitu yakni punya sumber dana tersendiri yang terpisah. Oleh demikian peruntukan SPRM ini tidak bercampur baur. Kita tidak mahu operasi SPRM terjejas kerana kesuntukan duit, atau pertambahan jawatan SPRM menjadi rumit kerana tidak bebas. Pendek kata kita memerdekakan SPRM.
D. Seterusnya kuasa pendakwaan mesti diberi kepada SPRM. Ini misalnya diamalkan di Indonesia oleh Komisi Pemberantasan Korupsi Republik Indonesia atau KPK yang mempunyai kuasa menyiasat dan mendakwa. Memang terdapat hujah kontra mengenai hal ini akan tetapi buat masa ini, model KPK ini lebih munasabah. Makanya kita, masyarakat tidak akan lagi marah-marah mengapa si anu yang 40 lebih kes dilepaskan, atau mengapa si ana boleh tidak didakwa hanya dengan membayar sejumlah wang, atau kenapa si ane diseret laki bini ke mahkamah.
E. Terakhir, penambahan staf SPRM sehingga 10,000 orang anggota, atau lebih. Buat masa ini jumlah kakitangan dan pegawai amatlah kecil sehingga menimbulkan tanda tanya apakah benar kerajaan serius untuk mencegah dan membenam rasuah.
Oleh sebab kita ada masyarakat jahil, kita yang pandai harus kekal dan tetap memikirkan tanpa lelah bagaimana untuk mengasuh masyarakat agar mereka celik dan sedar. Untuk itu SPRM sendiri mesti meningkatkan citra adil dan wibawa itu. Tidak boleh terlihat berkecenderungan apatah lagi berpihak. Memanglah tidak mudah dan terasa mencabar untuk melakukannya.
Kita mesti mengajar masyarakat apakah puncanya kejadian rasuah. Ada ketika ia berlaku kerana pengaruh politik (contoh politik wang dalam perlumbaan merebut jawatan parti). Ada ketika ia berlaku kerana ancaman samseng (contoh ada peniaga yang diperas oleh penguatkuasa tertentu dan terpaksa akur kerana takut). Ada ketika ia berlaku kerana budaya kerja yang salah (contoh dikurniai hadiah).
Tidak adillah untuk SPRM diadili dengan tidak adil. Keduanya, tidak adil juga kita menyalahkan masyarakat kerana tidak berlaku adil kepada SPRM. Kita, dalam hal ini saya menggunakan kata kita yakni saya dan SPRM, harus meningkatkan lagi pendidikan untuk masyarakat.
Orang yang tidak faham kita tidak boleh salahkan. Kita mesti salahkan diri kerana orang belum faham. Memanglah penat. Untuk menebang rasuah yang sudah berkurun lamanya ini tentulah kerja leceh dan payah.
Tambah-tambah kita ingin meyakinkan orang bahawa rasuah ini memang penyakit dan harus dibuang. Seperti pengamal perubatan yang perlu meyakinkan orang yang selepas balik Turki harus kuarantin dulu, tak boleh berjalan merata negeri. Pun yang bercakap itu doktor pun orang tetap tak mahu faham dan memujinya sebagai burung hud-hud.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/32QNw47
via IFTTT
No comments:
Post a Comment