PETALING JAYA: Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook menjadi pilihan untuk menggantikan Lim Guan Eng sebagai setiausaha agung pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) berikut, kata seorang pemimpin parti itu.
Lim kini dalam penggal ke-3 dan terakhir sebagai setiausaha agung.
Pemilihan CEC mungkin diadakan awal tahun depan berikutan Covid-19. Kali terakhir ia diadakan ialah 12 Nov 2017. Perlembagaan parti membenarkan seorang individu memegang jawatan setiausaha agung hanya untuk 3 penggal, dengan setiap penggal selama 3 tahun.
Seorang pemimpin parti yang tidak mahu dinamakan memberitahu FMT: “Saya percaya parti akan memilih Loke sebagai setiausaha agung baru kerana beliau dilihat sebagai pemimpin paling rapat dengan Lim dan bersikap adil, beliau menjadi setiausaha organisasi untuk tempoh lama yang menjadikannya pilihan semula jadi.”
Sebagai setiausaha organisasi, Loke adalah “pengendali” utama dalam parti itu, meluluskan keahlian, berhubung dengan cawangan dan berkomunikasi dengan pemimpin akar umbi setiap hari.
“Orang (ahli dan pemimpin DAP) tiada masalah dengan Loke, kita tidak ada situasi seperti dalam PKR, ia bukan satu kem menentang kem lain, jadi saya tidak menjangkakan sebarang masalah ketika pemilihan CEC nanti,” kata sumber FMT.
Tetapi, orang dalaman parti itu berkata, sebarang masalah akan timbul dari peringkat negeri, khasnya di Selangor dan Johor, di mana beberapa pemimpin akar umbi merasakan tiada ruang untuk mereka ekoran banyak peranan kepimpinan diisi teknokrat.
“Di peringkat CEC tidak akan ada masalah, tetapi di peringkat akar umbi, anda mungkin melihat ‘pemberontakan’ seperti yang menentang Tony Pua di Selangor. Anda mungkin lihat perkara sama di Johor.”
Pada Disember 2018, Pua, pengerusi DAP Selangor yang bakal meninggalkan jawatan itu, gagal dipilih menganggotai jawatankuasa negeri parti itu yang terdiri daripada 15 ahli. Beliau hanya mendapat 292 undian, yang menempatkannya di tempat ke-19.
Sementara itu, James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, “kemungkinan besar” Loke dipilih sebagai setiausaha agung, walaupun beliau bukan salah seorang daripada 3 timbalan setiausaha agung.
Timbalan Setiausaha Agung sekarang ialah Nga Kor Ming, Teresa Kok dan V Sivakumar.
Chin berkata: “Adalah jelas Loke mempunyai sokongan dalam parti. Beliau disukai semua pihak dan seorang yang berkebolehan.”
Sekiranya Loke dipilih sebagai setiausaha agung baru, beliau perlu meningkatkan sokongan masyarakat Melayu dan Bumiputera bukan Islam kepada parti itu kerana sokongan orang Cina sudah mencapai had maksimum.
Katanya, satu daripada kegagalan DAP, khasnya ketika mereka berkuasa di peringkat persekutuan, ialah perkhidmatan awam dan beberapa bahagian akar umbi Melayu melihat parti itu terlalu terus terang dan agresif.
“Ini selalunya tidak diterima baik oleh masyarakat Melayu, India dan Bumiputera bukan Islam.”
Chin bagaimanapun berkata, Lim dan bapanya, Lim Kit Siang akan terus mempunyai pengaruh besar dalam DAP dan tidak perlu memegang jawatan untuk berpengaruh.
“Tetapi, walaupun saya tidak melihat perubahan besar (dalam hala tuju parti), saya fikir setiausaha agung baru akan berusaha menjenamakan semula parti itu untuk menjadikannya lebih rakyat Malaysia.
“Mereka betul-betul mahu menarik orang muda, orang Melayu dan Cina di bandar kerana merasakan demografi ini akan menjadi lebih rakyat Malaysia dalam pandangan mereka.”
Dalam pada itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya percaya DAP perlu memberi peluang kepada Nga atau Kok menggantikan Lim yang memegang jawatan itu terlalu lama.
Setiausaha agung baru perlu menangani isu seperti usaha pembaharuan yang terlalu agresif tanpa mempertimbangkan sentimen akar umbi di luar parti.
“Kadangkala, mereka bertindak seperti pembangkang ketika berada dalam kerajaan. DAP perlu dilihat sebagai parti sederhana yang dapat diterima oleh semua masyarakat dan mengelakkan kontroversi.
“Saya percaya setiausaha agung baru akan membawa perubahan dalam hala tuju dan pendekatan parti itu.”
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, pengganti Lim tidak semestinya salah seorang daripada 3 timbalan setiausaha agung itu.
“Saya percaya ramai pemimpin DAP berkaliber dan mempunyai kemampuan untuk mengambil alih jawatan setiausaha agung.”
Katanya, antara keutamaan setiausaha agung baru ialah mengeratkan hubungan dengan sekutu Pakatan Harapan.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/2GLKJSJ
via IFTTT
No comments:
Post a Comment