Breaking news

Sunday 13 September 2020

Laksana reformasi segera sistem pendidikan, pekerjaan, kata Syed Saddiq

Laporan mendapati pasaran kerja Malaysia berdepan masalah tidak padanan antara kemahiran pekerja dengan jenis pekerjaan yang ada. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa reformasi segera dan sangat diperlukan ke atas sistem pendidikan dan pekerjaan sewaktu pencari kerja muda dilaporkan semakin sukar memperoleh pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan dan kelayakan mereka.

Syed Saddiq berkata, sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan skim padanan yang menyelaraskan keperluan korporat dengan kursus yang diajar di universiti.

Beliau berkata, kursus aliran sains di negara ini kerap menyaksikan ramai graduan yang berkelayakan bekerja di luar industri atau terpaksa mencari kerja di luar negara.

Lebih banyak langkah juga perlu diambil bagi memudahkan latihan amali industri, kata Syed Saddiq kepada FMT berkait laporan yang dikeluarkan oleh sebuah institut di Singapura bahawa pasaran kerja di Malaysia berdepan masalah tidak padanan antara kemahiran pekerja dengan jenis pekerjaan yang ditawarkan.

“Saya percaya jika universiti kita mahu melangkah maju dan berada di depan dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi, maka ia boleh mewujudkan program bantuan universiti bagi mendedahkan pelajar kepada kemahiran praktikal yang mereka perlukan,” katanya.

Syed Saddiq juga mahu latihan dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) diperluaskan kerana kadar penggajian graduan TVET adalah 10-15% lebih tinggi berbanding lulusan universiti.

“Kadar penggajian TVET sangat tinggi, tetapi kadar enrolmen bagi program tersebut masih rendah,” katanya, dengan menambah bahawa kerajaan perlu mendekati ibu bapa dan pelajar dan memperkenalkan TVET serta masa depan cerah bagi graduannya dalam alam pekerjaan.

Skim subsidi upah bagi membantu mereka yang kembali bekerja

Berikutan impak wabak Covid-19 ke atas pasaran kerja yang sedia lemah, Syed Saddiq berkata, kerajaan perlu menyediakan skim subsidi upah bagi “memastikan individu yang tidak bekerja untuk tempoh yang lama diterima bekerja”.

“Langkah yang dilihat sebagai semata-mata subsidi oleh banyak pihak ini sebenarnya merupakan pelaburan kerajaan bagi membasmi pembaziran modal insan. Individu yang berusaha keras bagi mendapatkan kelayakan pelajaran harus diberi peluang untuk memanfaatkannya.”

Pengarah eksekutif Persekutan Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan bersetuju dengan berkata, angka yang disebut dalam laporan itu menggambarkan trend terkini “yang membimbangkan” dengan kadar pengangguran belia mencecah angka 13.1% pada Jun.

Beliau berkata, bagi mengelak kemungkinan “tersekat” dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan, pekerja muda perlu terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka selepas tamat belajar, terutama sebagai respons terhadap tuntutan pasaran kepada literasi digital dan perkembangan teknologi.

Beliau juga bersetuju bahawa institusi pengajian tinggi hendaklah bekerjasama dengan majikan bagi memastikan graduan memenuhi keperluan industri dan bergerak ke arah model yang mengutamakan kesesuaian pekerjaan dan latihan praktikal berbanding pelajaran teori.

Pengarah negara agensi pakar pekerjaan ManpowerGroup, Sam Haggag berkata, kemajuan pesat teknologi mewujudkan keperluan kemahiran yang tidak dimiliki oleh ramai graduan, terutamanya berhubung keperluan automasi industri yang semakin bertambah.

“Wujud bahaya bahawa pekerja muda yang memasuki pasaran tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan bagi memenuhi tuntutan industri.

“Kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam pekerjaan kini mungkin sangat berbeza daripada sebelum ini,” katanya, sekali gus menasihati majikan “supaya menyediakan peluang latihan kepada pekerja mereka”.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/33sxkX4
via IFTTT

No comments:

Post a Comment