Breaking news

Tuesday, 8 September 2020

Kumpulan majikan sambut baik cadangan Guan Eng kawal pengangguran

Persekutuan Majikan Malaysia berkata, elaun insentif kerja akan membolehkan pekerja dilatih semula.

PETALING JAYA: Kumpulan majikan terbesar menyambut baik cadangan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng untuk mengekalkan jumlah penganggur di bawah sejuta orang, yang masih akan menjadi angka tertinggi dalam sejarah negara.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan berkata, cadangan Lim boleh membantu individu dan perniagaan, khasnya perusahaan kecil dan sederhana.

“Ini akan membolehkan mereka meneruskan perniagaan dalam persekitaran perniagaan mencabar akibat pandemik,” katanya kepada FMT.

Lim yang juga setiausaha agung DAP, menggesa “pelaksanaan segera” cadangan menaikkan bantuan kebajikan bulanan daripada RM200 dan RM300 kepada RM1,000; melanjutkan moratorium pinjaman selama 6 bulan lagi mulai 30 Sept ini dan pemberian insentif pengambilan dan bekerja berjumlah RM500 sebulan untuk pekerja serta RM300 bagi majikan.

Beliau menganggarkan jumlah peruntukan untuk cadangannya itu mencecah RM31.4 bilion.

Shamsuddin Bardan

Shamsuddin berkata, majikan boleh menggunakan insentif itu dengan menyediakan latihan dan latihan semula kepada pekerja, dengan lawatan ke atau kerjasama dengan institusi pendidikan untuk dimaklumkan mengenai trend terbaru dalam industri serta jangkaan bakat yang diperlukan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia, Carmelo Ferlito bimbang dengan impak inisiatif itu ke atas pertumbuhan ekonomi.

“Inisiatif ini dibiayai melalui pinjaman, yang bermakna mengalihkan beban ekonomi kepada generasi akan datang dan saya melihat langkah yang dicadangkan itu tidak dapat menangani masalah teras yang dihadapi Malaysia dalam keadaan semasa,” katanya kepada FMT.

Beliau meragui skim pengambilan pekerja akan mengubah komposisi tenaga kerja secara radikal, dengan menarik orang tempatan menerima pekerjaan yang dianggap mereka sebagai pilihan terakhir.

Carmelo Ferlito

“Hubungan antara kerja 3-D (berbahaya, kotor dan sukar) dan tenaga kerja Malaysia bukan saja dipengaruhi wang, tetapi juga sifat pekerjaan, jangkaan dan prospek kerjaya.

“Saya rasa untuk membayangkan Malaysia bebas daripada pekerja asing adalah mustahil, yang akan menyebabkan banyak syarikat pembuatan gulung tikar dan tenaga kerja tempatan turut dipecat. Saya pernah melihat keadaan ini.”

Katanya, pekerjaan yang diwujudkan dengan “wang buatan” hanya penyelesaian sementara.

“Ia boleh dilaksanakan hanya apabila subsidi diberikan, lebih-lebih lagi kuasa membeli yang baru diwujudkan akan membawa kesan positif sementara lain, tetapi selepas ia ditarik balik, seluruh ‘istana’ akan tumbang seperti dominos dan keadaan pasca-rangsangan mungkin lebih teruk berbanding sebelumnya.”



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3bBnEx5
via IFTTT

No comments:

Post a Comment