Breaking news

Wednesday 30 September 2020

Kellie’s Castle, istana yang tidak sempat disiapkan

Kellie’s Castle tersergam indah di atas bukit jika dilihat dari tepi jalan.

Jika anda melalui jalan dari Simpang Pulai ke Batu Gajah, Perak anda dapat melihat sebuah istana lama tersergam di atas bukit dikenali sebagai Kellie’s Castle.

Kellie Castle mula dibina pada tahun 1905 oleh seorang peladang getah terkemuka warga Scotland iaitu William Kellie Smith. Bangunan tiga tingkat ini dibina mengikut reka bentuk istana Moghul di India. Malah, dikatakan tukang binaan bangunan ini dibawa khas dari Madras.

Namun, istana atau rumah agam ini tidak siap dibina sepenuhnya kerana William mati mengejut pada tahun 1926 akibat sakit pneumonia.

Istana ini mempunyai 14 buah bilik, sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia. Terdapat syaf lif yang sepatutnya menempatkan lif pertama di Tanah Melayu jika istana ini dapat disiapkan.

Lif ini berfungsi daripada tingkat atas sehingga terowong bawah tanah di rumah agam tersebut. Namun, perancangan ini tidak berjaya kerana William meninggal dunia ketika pulang ke Eropah untuk mengambil lif tersebut.

Mengikut perancangan, di tingkat kedua akan dibina sebuah padang tenis berlantaikan simen. Manakala kawasan atas bumbung pula dikhaskan untuk upacara keraian bersama usahawan atau orang-orang kenamaan.

Kellie’s Castle menyimpan seribu kenangan pahit dan manis. Proses pembinaannya melalui pelbagai masalah dan kerana kematian Smith, rumah agam ini tidak dapat disiapkan.

Tidak jauh dari istana Kellie, terdapat sebuah kuil Hindu dan yang menariknya, terdapat sebuah patung lelaki Eropah diletakkan bersama-sama patung dewa hindu lain di kuil itu. Di katakan, patung tersebut adalah penghargaan kepada William yang telah membina kuil tersebut.

Fakta menarik mengenai Kellie’s Castle:

  • Berita mengenai Kellie’s Castle pernah disiarkan dalam akhbar London Financer pada 15 September 1911. Binaan bangunan ini dianggap unik dari segi reka bentuk dan keluasannya.
  • Istana Kellie sering menjadi lokasi pengambaran drama dan filem. Antaranya filem Anna And The King yang dilakonkan oleh pelakon Chow Yuen Fatt.
  • Pembinaannya tidak menggunakan besi atau pun paku.
  • Oleh kerana tiada simen pada waktu itu, batu-bata dilekatkan menggunakan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu. Lebih mengagumkan binaan yang terbina dari campuran tersebut mampu kekal sehingga ke hari ini.
  • Sebuah jambatan menyeberangi Sungai Kinta dibina untuk pelawat agar mudah ke Istana Kellie.
  • Sebuah kedai makan dan kedai cenderahati dan tapak meletakkan kenderaan telah dibina oleh Majlis Daerah Kinta Barat pada tahun 1990.

Perjalanan ke Kellie’s Castle

Jika dari Kuala Lumpur, anda akan mengambil masa selama 2 jam. Anda perlu melalui Lebuh raya Utara Selatan dan keluar ke Plaza Tol Simpang Pulai menuju ke Batu Gajah atau Universiti Teknologi Petronas di Tronoh.

Bayaran masuk
Untuk warga tempatan (Pastikan anda membawa Mycard):
Dewasa: RM5.00
Kanak-kanak berumur 3 – 12 tahun: RM3.00
Warga emas berusia 60 tahun ke atas: RM4.00
Untuk pelancong dan bukan warga negara Malaysia:
Dewasa: RM10.00
Kanak-kanak: RM8.00

Waktu operasi:
Dibuka setiap hari bermula jam 9.00pagi – 6.00petang
Lawatan ke dalam bangunan adalah ‘self-guide’.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3kZIj1k
via IFTTT

No comments:

Post a Comment