Breaking news

Thursday, 10 September 2020

Karya animasi Malaysia bakal cipta nama di pentas global

Eric Calderon dari Octopie Studios berkata, industri animasi Malaysia sedang berkembang. (Gambar YouTube)

PETALING JAYA: Syarikat penerbitan animasi di negara Asia Tenggara tidak dikenali di peringkat antarabangsa berbanding Jepun dan Amerika Syarikat.

Namun, dengan penciptaan kandungan menjadi semakin digital, semakin banyak syarikat penerbitan animasi ditubuhkan di rantau ini dan bakal menjadi pemain utama di pentas antarabangsa.

Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), terdapat lebih 100 studio di Malaysia dan mereka menghasilkan lebih 64 karya asli yang diedarkan ke 120 negara.

Ia turut melaporkan industri animasi Malaysia bernilai kira-kira RM162 bilion pada 2018.

Penerbit animasi Filipina-AS, Eric Calderon dari Octopie Studios mengesahkan animasi Malaysia dalam proses mencipta nama dalam industri itu di seluruh dunia.

“Ia sedang berkembang. Saya masih ingat pada lewat 90-an ketika ‘Kampung Boy’ mula mendapat perhatian di pasaran antarabangsa, walaupun tidak ditayangkan di AS.

“Sejak itu, saya nampak beberapa karya asli sama ada di Cartoon Network, anime atau filem 3D yang cuba mendapat tarikan di wilayah luar daripada Asia Tenggara.”

Katanya, kesanggupan studio tempatan menerbitkan karya bersejarah, contohnya siri animasi Malaysia “Saladin” yang membezakannya daripada pasaran AS.

Beliau berkata, Malaysia mampu bersaing dengan negara lain yang mempunyai hab animasi terkenal disebabkan cara unik penceritaannya.

“Kisah dan konsep asli tidak memerlukan sumber atau dana. Sebaliknya, apa yang diperlukan ialah berfikir secara berbeza dan berani, tetapi dengan disiplin penceritaan asas yang sesuai dalam setiap genre.

“Maklumat sedemikian boleh dipelajari dan dikuasai,” katanya sambil menggesa syarikat penerbitan tempatan menghasilkan karya tanpa mengorbankan “jiwa untuk menjadi Asia Tenggara”.

Calderon juga berharap sokongan dan pelaburan berterusan dalam industri animasi Malaysia supaya syarikat penerbitan tempatan serta bakat mereka dapat berkembang.

“Bakat boleh wujud di mana-mana. Saya hanya berharap lebih banyak bakat akan dilahirkan di rantau ini supaya kita semua boleh mendapat manfaat daripada visi unik mereka.”

Calderon akan menyampaikan ucaptama pada edisi ke-11 Kre8tif!, acara mengenai industri kandungan digital anjuran MDEC.

Acara yang berlangsung sejak Isnin lalu hingga hari ini menghimpunkan pemain dalam sektor animasi, penyiaran, pelesenan dan penjualan barang, kesan visual, teknologi digital serta ruangan penciptaan kandungan.

Mereka yang berminat menghadiri acara maya itu boleh melayari www.kre8tif.com.my.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3igX9zK
via IFTTT

No comments:

Post a Comment